Frank kecewa, kutuk pasukan sendiri

17 hours ago 4

LONDON – Thomas Frank mengakui kekalahan memalukan Tottenham Hotspur di tangan Nottingham Forest dengan keputusan 0-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam sebagai ‘menyakitkan dan menjengkelkan’.

Spurs tewas teruk di City Ground selepas kesilapan pertahanan menghadiahkan dua gol mudah kepada Callum Hudson-Odoi sebelum jaringan cantik Ibrahim Sangare menutup malam hitam juara bertahan Liga Europa itu.

Keputusan itu menambah tekanan ke atas Frank yang hanya meraih empat kemenangan daripada 14 perlawanan terakhir selepas permulaan memberangsangkan dengan enam kemenangan daripada 11 aksi awal sejak mengambil alih tugas daripada Ange Postecoglou.

Tottenham kini di tangga ke-11 PL, enam mata di belakang kelompok lima teratas, sekali gus mencerminkan hakikat pahit pertukaran pengurus masih gagal menyelesaikan masalah berpanjangan kelab itu.

“Ia jelas, jika tiada siapa diberi masa, tiada siapa mampu mengubah keadaan. Ini bukan penyelesaian segera,” kata Frank yang menyifatkan persembahan pasukannya sebagai sangat buruk.

Frank turut mengakui emosinya berkecamuk selepas kekalahan tersebut, namun menegaskan ketenangan perlu dikekalkan bagi memastikan mesejnya difahami pemain.

“Saya buat segalanya untuk mengawal emosi, walaupun di dalam diri seperti ribut taufan. Ia amat mengecewakan kerana kami tidak tampil lebih baik selepas beberapa persembahan positif sebelum ini,” katanya.

Bekas pemain sayap England, Theo Walcott tampil mempertahankan Frank dan menegaskan pengurus dari Denmark itu masih wajar diberi ruang untuk membentuk pasukannya.

“Kita perlu ingat semua pengurus perlukan masa. Spurs sebenarnya tidak berada dalam kedudukan terlalu teruk, cuma mengecewakan kerana ini peluang untuk melonjak kerana persaingan di pertengahan liga sangat rapat,” kata Walcott.

Dengan rekod hambar di laman sendiri dan prestasi tidak konsisten yang berlarutan sejak beberapa musim, Spurs kini berdepan persoalan besar sama ada masa benar-benar mampu menyelamatkan Frank atau sejarah akan kembali berulang di utara London. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |