DPP mohon pindah kes rasuah bekas PTD, isteri ke Mahkamah KL

1 week ago 13

KUALA LUMPUR – Kes rasuah membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya Salwani Anuar dijangka dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Kuala Lumpur bagi menjimatkan masa, kos serta mempercepatkan perjalanan keadilan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan akan memohon supaya semua pertuduhan yang ketika ini difailkan di Shah Alam dan Kuala Terengganu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, khususnya ke Mahkamah 9.

Menurut beliau, langkah tersebut dibuat atas prinsip ‘expedient of justice’ bagi memastikan pengendalian kes secara lebih teratur dan efisien memandangkan ia melibatkan beberapa pertuduhan serta jumlah wang yang besar.

“Semua kes akan digabungkan dan dibicarakan di Kuala Lumpur. Ini bagi menjimatkan masa, kos dan mempercepatkan prosiding mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah, di sini hari ini.

Wan Shaharuddin memaklumkan, setakat ini bekas PTD berkenaan berdepan empat pertuduhan, manakala isteri ketiganya turut berdepan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, pertuduhan terhadap Muhammad Hafizuddeain, 58, melibatkan dua kes yang akan dibacakan di Shah Alam, manakala isterinya pula akan didakwa di Kuala Terengganu sebelum semua kes dipindahkan ke Kuala Lumpur.

“Semua wang yang terlibat adalah dana haram dan jumlah keseluruhan dianggarkan mencecah hampir RM3 juta,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu risiko tertuduh melarikan diri, Wan Shaharuddin berkata, dalam kes rasuah yang membawa hukuman berat sehingga 20 tahun penjara, kebarangkalian tersebut tidak boleh diketepikan.

“Disebabkan itu, pihak pendakwaan memohon supaya pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat ikat jamin,” katanya.

Tambah beliau, walaupun Muhammad Hafizuddeain telah berkhidmat selama kira-kira 40 tahun dalam angkatan pertahanan negara, termasuk pernah berkhidmat di luar negara, perkara tersebut tidak menafikan keperluan beliau untuk menghadapi pertuduhan sebagai seorang tertuduh.

“Ini bukan kes pertama membabitkan pegawai kanan tentera. Setiap individu adalah sama di sisi undang-undang dan perlu melalui proses perbicaraan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM2.12 juta di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Muhammad Hafizuddeain membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Sementara itu, Salwani, 27, juga mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000, dua tahun lalu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin dengan masing-masing RM250,000 dan RM30,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 30 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |