Dapur tempat saya memasak, makan dan tidur

20 hours ago 4

SUNGAI PETANI – “Sudah hampir setahun saya tunggu bantuan, kalau ada syukur. Kalau tak, saya reda duduk sajalah begini.”

Itu luahan seorang warga emas, Maimunah Mustafa, 74, dari Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda, dekat sini yang terpaksa meneruskan hidup dalam rumah yang serba daif selepas sebahagian besar bumbung ke­diamannya rosak akibat ribut pada 18 September, tahun lalu.

Akibat kejadian itu, hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin menyebabkan dia kehilangan tempat berteduh dan hanya mampu membaiki bahagian dapur dengan menggunakan kayu serta zink terpakai.

“Saya baiki setakat mana yang mampu, itu pun guna duit sumbangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan orang ramai. Dapatlah kumpul RM1,000, cukup untuk tampung sedikit bahagian dapur.

“Sekarang ni dapur sajalah tempat saya memasak, makan dan tidur. Nak baiki semua, kos­nya lebih RM20,000, mana saya nak cari duit sebanyak tu?” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, setiap kali hujan, air akan tempias dan memasuki ruang dapur dan dia hanya mampu meletakkan kepingan zink untuk menghalang air daripada membasahi tempat tidurnya.

“Saya tak minta lebih, cukup kalau dapat tempat berteduh yang selesa untuk habiskan sisa hidup,” ujarnya.

Maimunah yang menghidap penyakit darah tinggi berkata, selepas kejadian ribut itu, dia menumpang di rumah adiknya yang terletak tidak jauh dari situ selama kira-kira lima bulan kerana adiknya berada di Johor pada waktu itu.

“Tapi bila adik balik Januari lalu, saya tak sampai hati nak susahkan dia. Jadi saya balik semula duduk rumah ini walau dalam keadaan macam ni,” jelasnya.

Katanya, setakat ini dia hanya menerima bantuan zakat RM300 sebulan bagi menampung per­belanjaan makan serta membayar bil elektrik dan air. Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BSN 0212429000145555 atas nama Maimunah Mustafa atau hadir sendiri ke rumahnya di Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda.

Read Entire Article
Pertanian | | | |