PUTRAJAYA- Kerajaan menetapkan kadar caj maksimum RM400 bagi tapak bazar Ramadan seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun ini iaitu menyaksikan pengurangan sebanyak RM100 berbanding RM500 pada tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutan), Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat kerajaan bagi meringankan beban penjaja kecil khususnya mereka di Kuala Lumpur.
“Selain itu, kadar caj sama turut diwajibkan ke atas persatuan penjaja bagi mengelakkan sebarang beban kewangan yang tidak munasabah dikenakan kepada penjaja.
“Kerajaan juga menegaskan bahawa sebarang amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pelanggaran termasuk yang melibatkan penganjur,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Sementara itu, bagi penganjuran bazar Ramadan tahun ini, Hannah berkata, sebanyak 42 lokasi terlibat ditawarkan kepada penjaja.
“Dalam konteks ini, sebanyak sembilan lokasi berada bawah seliaan DBKL, manakala 32 lokasi pula dikendalikan persatuan penjaja,” katanya.
Tiga persatuan utama yang terlibat ialah Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur, Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan serta Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, bagi menjaga kualiti dan kawalan harga makanan di bazar Ramadan, Hannah berkata, DBKL bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membuat pemeriksaan setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
“Saya berharap bila kita turunkan kadar caj, peniaga juga akan munasabah dari segi harga makanan (yang dikenakan) kepada pelanggan warga Kuala Lumpur. Saya juga mahu persekitaran bazar Ramadan sentiasa bersih,” katanya.
Sementara itu, Hannah berkata, caj tapak bazar Ramadan bagi kawasan Putrajaya dikekalkan seperti sebelum ini iaitu pada kadar RM1,000. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
17



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































