PETALING JAYA – Mekengkapkan siri persembahan jelajah di China dengan cemerlang, penyanyi Shila Amzah mengakui berdepan cabaran tersendiri dalam melayari kerjaya seni sebagai artis bebas, sekali gus masih mengharapkan sokongan ramai.
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata, bukan mudah untuk berada pada tahap sekarang hinggakan dia pernah hampir putus asa.
“Saya masih lagi seorang artis independen dan sangat mengharapkan sokongan anda untuk album serta konsert.
“Selepas 25 tahun, masih ada cabaran saya sendiri. Kadang-kadang rasa nak putus asa, tapi sayang kalau nak lepaskan sekarang selepas semua yang saya usahakan,” katanya dalam perkongsian di Threads.
Hantaran dibuat selepas Shila melengkapkan siri jelajah Shila Amzah Livehouse Tour 2026 dengan lokasi terakhir di Nanjing, China.
Sebelum Nanjing, penyanyi yang menempa nama di negara Tembok Besar itu lebih dulu beraksi di Chengdu dan Guangzhou.
Turut mengimbau memori lampau, Shila menceritakan detik lalu mengenai permulaan kerjaya seni tanpa mempunyai sandaran kewangan yang kuat.
“Memulakan (kerjaya nyannyian) dari kewangan kosong, saya rasa sangat bersyukur,” ujarnya.
Turut menyentuh konsert Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories pada 9 Mei ini, katanya semua pelan dan susun atur tetap di bawah pengawasannya.
Kata Shila, dia terlibat secara langsung dalam setiap aspek produksi konsert yang menggunakan dana sendiri.
“Saya buat persembahan sambil kumpul duit untuk bagi yang terbaik dalam konsert kali ini sebab saya memang terlibat dalam semua aspek produksi,” katanya.
Terdahulu, namanya mekar di China selepas menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai seterusnya mencipta fenomena tersendiri sehingga ke hari ini.
Malah, lagu Mandarin nyanyiannya, Dao Shu Shui Ai Wo, turut mencatatkan rekod luar biasa dengan lebih 800 juta penstriman. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6

















![[VIDEO] Tengah makan beg pelanggan kena ragut….](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-yang-dimuat-naik-oleh-Oriental-Kopi-di-laman-Instagram..jpeg)





























