‘Bercerai? saya nafikan, rumah tangga kami tiada masalah’

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Saling nyahikut akaun Instagram masing-masing, suami kepada pelakon Julia Farhana, Dr. Che Hafiz menafikan dakwaan kononnya mereka kini sudah bercerai.

Menurut Hafiz atau nama lengkapnya Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 36, hubungan dengan Julia berada dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Saya memang menafikan dakwaan tersebut sebab kami memang baik-baik sahaja. Rumah tangga kami tiada masalah.

“Masing-masing menjalani kehidupan harian seperti biasa. Sibuk dengan kerja masing-masing.

“Saya sendiri tak pasti bagaimana spekulasi tentang rumah tangga kami boleh timbul sedangkan kami baik-baik sahaja,” katanya yang hadir tanpa ditemani pada majlis Rumah Terbuka All Star Influencers, di sini hari ini.

Ditanya tentang ketiadaan gambar bersama dalam akaun Instagram masing-masing, Hafiz enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

“Apa yang saya boleh katakan biasalah dalam rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Kisah dalam rumah tangga adalah cerita peribadi. Tak elok untuk diceritakan kepada orang luar,” jelasnya.

Apabila timbul spekulasi tentang masalah rumah tangganya bersama Julia, netizen mula menuding jari ke arah pihak lelaki memandang Hafiz pernah berkahwin dan bercerai dengan pelakon Lufya sebelum ini.

Kata Hafiz, orang luar hanya boleh bercakap berdasarkan tanggapan dari luaran. Apa yang berlaku di dalam rumah tangga, hanya pasangan suami isteri yang tahu.

“Sudah menjadi lumrah. Bila berlaku sesuatu spekulasi, orang suka bermain dengan tanggapan walaupun cerita itu tak betul. Sehinggalah mereka tahu cerita yang sebenar.

“Tetapi saya sendiri tak suka bercerita tentang kisah rumah tangga sebab terlalu peribadi. Jika kita buka cerita kemungkinan membuka ruang yang lebih teruk dan mengaibkan orang lain. Itu bukan cara saya,” katanya.

Terdahulu spekulasi tentang masalah rumah tangga Hafiz dan Julia mula diperkatakan ramai selepas kedua-duanya dilihat tidak lagi beraya bersama.

Mereka juga memadam foto bersama dalam Instagram dan tidak lagi mengikuti akaun satu sama lain.

Untuk rekod pasangan itu berkahwin pada 14 Disember 2022 dan belum dikurniakan zuriat.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |