PETALING JAYA – Penderitaan rakyat Palestin terus menjadi keutamaan dalam agenda politik antarabangsa apabila ASEAN sekali lagi menegaskan komitmen konsisten mereka untuk menyokong perjuangan rakyat negara itu.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-58 (AMM-58) memikul tanggungjawab besar mengetuai suara serantau bagi memastikan usaha gencatan senjata antara Israel dan Hamas dapat dilaksanakan segera.
AMM-58 yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai di Kuala Lumpur dilihat sebagai medan penting untuk membincangkan isu Palestin selaras dengan perkembangan terkini bahawa kedua-dua pihak mungkin bersetuju menghentikan pertempuran selama 60 hari.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, isu Palestin adalah perkara penting bagi ASEAN dan akan diberi perhatian dalam AMM-58 serta Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Keempat Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV).
Menurutnya, CEAPAD IV yang dipengerusikan bersama oleh Malaysia, Jepun dan Palestin akan memberi tumpuan kepada program pembangunan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur penting di Palestin dan pemberian bantuan kemanusiaan secara menyeluruh dan berkesan.
“CEAPAD IV dijangka menjadi platform utama negara-negara Asia Timur termasuk ASEAN untuk menunjukkan solidariti terhadap perjuangan Palestin serta membincangkan langkah menyokong pemulihan negara itu selepas konflik,” katanya.
ASEAN sebelum ini pada 12 Februari lalu telah mengulangi sokongan terhadap hak asasi rakyat Palestin termasuk hak menentukan nasib sendiri dan tanah air mereka, selain menggesa semua pihak mengadakan dialog bermakna untuk mencapai penyelesaian aman berasaskan penyelesaian dua negara.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN bersempena Sidang Kemuncak ASEAN pada 25 Mei lalu menegaskan rantau ini tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza.
Beliau berkata, Malaysia akan terus memimpin seruan kepada masyarakat antarabangsa agar tidak bersikap selektif dalam menangani konflik kemanusiaan serta menyokong penyelesaian dua negara berasaskan sempadan 1967 seperti yang termaktub dalam resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam mesyuarat luar biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah pada 7 Mac lalu, Mohamad Hasan turut menegaskan bahawa OIC dan komuniti antarabangsa perlu memastikan Israel mematuhi gencatan senjata, membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza, menghentikan operasi ketenteraan dan memulakan proses pemulihan Gaza.
AMM-58 kali ini menjadi peluang terbaik untuk ASEAN tampil sebagai blok yang bukan sahaja strategik dari segi ekonomi dan geopolitik, malah bermaruah dari sudut moral dan kemanusiaan.
Sikap ASEAN terhadap isu Palestin akan menjadi penanda aras kepada komitmen rantau ini terhadap prinsip keadilan, kedaulatan dan hak setiap bangsa untuk hidup aman damai.
Malaysia kini berada di barisan hadapan memimpin ASEAN ke arah suara yang lebih lantang, bersatu dan tegas dalam memperjuangkan kebenaran mengenai isu Palestin. – KOSMO! ONLINE