‘Abah orang terpilih, meninggal di tempat elok’

6 hours ago 3

MEKAH – “Sebenarnya saya tidak kuat sebab saya bergantung semua dengan suami, semua dia buat. Umpama bila tiada dia itu macam tidak ada sebelah sayap saya.”

Demikian ujar Sarifah Hassan, 57, isteri Allahyarham Abdullah Mat, 59, jemaah kedua yang meninggal dunia di Tanah Suci ketika melakukan tawaf sunat Subuh semalam.

Sarifah berkata, apa yang menenangkan kesedihannya ketika ini adalah semangat daripada empat anak yang berada di Malaysia.

“Anak-anak cakap Ma (Sarifah) kuat Ma tak payah bimbang, Abah orang yang terpilih, Allah pilih dia ‘pergi’ di tempat molek (elok).

“Mereka juga ucap Abah ‘duduk’ di tempat elok, Ma kena kuat, kami (anak-anak) tunggu Ma balik,” kongsi Sarifah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ketika kejadian Abdullah ditemani empat rakan sebiliknya, Ashri Mohamed, 52; Napi Ab. Kadir, 59; Mazlan Mahasan, 55, dan Aziz Isa, 63, selesai pusingan kelima menunaikan tawaf sunat di aras 1 Masjidil Haram.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 4.15 pagi kira-kira seminit sebelum azan subuh berkumandang.

Cerita Sarifah, dia menerima panggilan telefon daripada pihak Hospital Jiwar, Jabal Qamar, di sini selepas subuh memaklumkan Allahyarham sudah ‘tiada’.

“Pemanggil memaklumkan ‘sabar puan sabar, suami puan sudah tiada’. Saya amat terkejut, saya hempas telefon menangis peluk kawan-kawan,” ujarnya dalam nada hiba.

Katanya, suaminya yang mempunyai sakit saraf mata amat gembira berada di Tanah Suci lebih-lebih lagi mendapat empat rakan sebilik yang sangat prihatin dengan kesihatannya.

“Ketika di Malaysia, arwah cakap depan anak-anak, ‘Ma jangan tinggal Abah ya’. Dia kalau jauh-jauh memang (mata) dia tidak nampak. (Sarifah cakap) Tak apalah Mama tak tinggal.

“Di sini dia dapat kawan-kawan satu bilik, satu negeri pula (Kelantan). Yang lain muda-muda, dia macam bergantung harap dengan rakan-rakan sebilik. Saya tanya Abah okay tak? Dia kata okay Ma,” katanya.

Katanya, empat rakan sebilik Abdullah itu akan membentuk bulatan dengan arwah suami berada di tengah-tengah berikutan masalah mata yang dihadapinya.

“Suami saya akan bergerak (menunaikan ibadah) dengan ‘team’suami, manakala saya pula dengan ‘team’ isteri. Itulah ketentuan Tuhan atur untuk saya. Memang hati ini reda, cuma masih terkejut.

“Dia memang tiada sakit apa, sihat sahaja. Anak kami (anak kedua doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu) turut memantau kesihatannya memang tiada apa-apa,” katanya.

Ujarnya, Allahyarham adalah merupakan seorang suami yang baik serta bapa yang penyayang selain suka bersedekah dan gemar membantu orang.

Abdullah yang berasal dari Kampung Landar, Jalan Slow Machang, Pasir Mas berkhidmat di Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Tunjong, Kota Bharu turut meninggalkan empat orang anak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |