Penganggur positif dadah ditahan rosakkan kuil

3 hours ago 2

AMPANG JAYA – Seorang penganggur ditahan kerana merosakkan dan melakukan ugutan menggunakan parang di sebuah kuil Hindu di Taman Sri Ampang, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian tersebut disedari oleh pengadu berusia 34 tahun yang juga setiausaha kuil berkenaan kira-kira pukul 8.29 pagi tadi.

Mohd. Azam berkata, pada mulanya kehadiran suspek memasuki kuil disedari pengadu menerusi rakaman televisyen litar tertutup kira-kira pukul 6 pagi sebelum suspek didapati telah beredar.

Ujarnya, pada waktu kejadian pula, suspek masuk dengan membawa tukul dan pemotong besi, parang serta keris sebelum bertindak memecahkan Sullam (tempat sembahyang Hindu).

“Pengadu terus bergegas ke kuil dan ketika tiba, pengadu dihalau oleh suspek yang mengacukan parang serta mengugut untuk memotong kepala pengadu.

“Pengadu kemudian menghubungi polis untuk bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Azam berkata, lelaki warga tempatan yang merupakan penganggur itu ditahan sejurus polis tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 8.38 pagi.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek berusia 33 tahun positif methamphetamine dan amphetamine.

“Antara barang yang dirampas adalah tukul dan pemotong besi, beg, dua bilah parang, keris dan sebuah motosikal,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan suspek itu berkaitan dengan golongan ekstremis, Mohd. Azam menafikan perkara tersebut.

“Tiada kaitan dengan ekstremis. Suspek disyaki khayal dan mendakwa terdengar bisikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Ampang Jaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan merosakkan tempat sembahyang.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |