PETALING JAYA – Astaka Holdings Limited (Astaka) pemaju hartanah bersepadu terkemuka yang berpangkalan di Johor, bersama rakan usaha samanya, Kimlun Corporation Berhad Kimlun, telah memulakan kerja pembinaan projek perkhidmatan kediaman Arden, yang merupakan sebahagian daripada fasa tiga pembangunan utama Kumpulan, One Bukit Senyum.
Arden yang dirancang sebagai mercu tanda antarabangsa dalam Zon Ekonomi Khas Johor-
Singapura (JS-SEZ) yang baharu diumumkan, merupakan bangunan setinggi 68 tingkat atau 260 meter dari paras tanah, menjadikannya bangunan kedua tertinggi di Johor Bahru.
Kumpulan ini juga adalah pemaju kepada bangunan tertinggi di Johor Bahru, iaitu The Astaka, yang disiapkan pada 2018 sebagai sebahagian Fasa 1 One Bukit Senyum.
Arden merupakan pembangunan pegangan bebas dengan nilai pembangunan kasar (GDV)
sebanyak RM800 juta dan merangkumi 618 unit kediaman servis premium, dijangka siap menjelang 2030.
Astaka dan rakan usaha sama itu telah melantik GDP Architects Sdn Bhd, firma
di sebalik pembangunan yang terkenal seperti Pavilion Kuala Lumpur, Tun Razak Exchange
(TRX) Residence, EQ Hotel Kuala Lumpur, dan The Astaka.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Astaka, Allen Khong berkata, selepas pelancaran rasmi Arden pada Mac 2025, pihaknya amat teruja untuk memulakan pembinaan pembangunan ikonik ini.
“Projek ini menyatukan dua pemain hartanah terkemuka dari Johor yang komited terhadap pembangunan bertaraf dunia yang memberikan nilai luar biasa kepada penduduk dan pelabur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Arden menawarkan kemudahan setaraf hotel termasuk ruang makan langit (sky dining),
lounge KTV, kemudahan mesra keluarga dan kanak-kanak, ruang pejabat kerja bersama,
simulator golf dalaman, serta kira-kira 50 kemudahan lain yang dirancang teliti.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Arden memperkenalkan model Pengurusan Penginapan Hotel Bersepadu, yang membolehkan pemilik unit dan pelabur memaksimumkan hasil sewaan menerusi penginapan jangka pendek.
Pembeli boleh memilih untuk menyertai model ini dan mendapat akses kepada perkhidmatan pengurusan unit secara menyeluruh, termasuk pembersihan dan
penyelenggaraan oleh operator profesional, serta lobi berasingan untuk tetamu masuk dan
keluar.
Model ini mendapat sambutan sangat positif daripada pembeli asing yang berhasrat
menjadikan unit mereka sebagai rumah percutian dan menjana pendapatan pasif semasa
mereka tiada.
Majlis pecah tanah bagi menandakan permulaan pembinaan Arden telah diadakan pada hari ini dan disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB),
Datuk Mohd Haffiz Ahmad. -KOSMO! ONLINE