BANGI – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menerusi kerjasama strategik bersama Autotronics Centre of Excellence telah menganjurkan Program Hybrid dan Electric Vehicle Safety Response (HEV SR) bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan kumpulan sasaran bagi membuat persediaan dalam peralihan mobiliti ke arah pembangunan industri EV dan hibrid.
Acara tersebut telah disertai oleh 70 peserta daripada agensi penyelamat, pengendali lebuh raya dan pemain industri sekali gus menjadikan mereka sebagai kumpulan tenaga kerja pertama di negara ini yang memperoleh sijil secara khusus dalam respons keselamatan HEV.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Nizmar Mohd Nazar berkata, , program HEV SR adalah komponen strategik pembangunan modal insan bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan nasional kekal selari dengan peralihan pesat teknologi mobiliti.
“Ia dirangka sebagai model pembangunan kapasiti nasional yang merangkumi 60 peratus latihan teknikal dan 40 peratus teori.
“Di mana modul latihan meliputi pengurusan risiko voltan tinggi, keselamatan bateri lithium-ion, protokol kecemasan kenderaan elektrik serta latihan paramedik asas termasuk CPR, penggunaan Automated External Defibrillator (AED) dan pengurusan kebakaran EV,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Pensijilan Program Latihan Tindak Balas Keselamatan HEV-SR di sini.
Kesemua peserta dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi kaedah Pusat Penilaian Amali (PPA) berdasarkan National Occupational Skills Standard (NOSS) G452-007-3:2019 – Electric and Hybrid Car Servicing, sekali gus memperkukuh kumpulan tenaga kerja profesional HEV bertauliah di peringkat nasional.
Sementara itu Nizmar menjelaskan, program HEV SR itu turut menyokong pembangunan e-Mobility Service Platform (eMSP) nasional yang diterajui MARii, termasuk penggunaan Telematics Service Platform (TSP) dan teknologi blockchain serta persediaan ke arah pelaksanaan sistem eCall.
“Sistem berkenaan membolehkan data kecemasan dihantar secara automatik daripada kenderaan ke pusat respons kecemasan, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan insiden dan mempercepatkan tindakan penyelamatan dengan meningkatkan kecekapan pengurusan insiden dan mengurangkan risiko kehilangan nyawa,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, program HEV SR itu mencerminkan evolusi peranan MARii sebagai institusi rujukan nasional dalam kesiapsiagaan keselamatan dan tadbir urus mobiliti masa hadapan.
Tambahnya, inisiatif itu selari dengan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020, khususnya dalam aspek keselamatan kenderaan generasi baharu (NxGV), pembangunan bakat tempatan serta kesiapsiagaan industri, selain menyokong pelaksanaan Low Carbon Mobility Blueprint (LCMB) 2021–2030.
Program HEV SR menandakan evolusi peranan MARii sebagai institusi rujukan nasional dalam aspek kesiapsiagaan keselamatan dan tadbir urus mobiliti masa hadapan.
Pada masa sama, program itu terus mengukuhkan komitmen MARii untuk memacu pembangunan dasar, standard serta kapasiti nasional bagi menyokong peralihan mobiliti rendah karbon secara selamat dan mampan.
Program yang dibiayai sepenuhnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu menangani jurang keupayaan keselamatan dalam pengendalian teknologi voltan tinggi, dengan 95 peratus peserta berjaya ditauliahkan SKM Tahap 3.
Pelaksanaan program itu turut disokong kerjasama rentas agensi melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta rakan industri. -KOSMO! ONLINE

1 month ago
29

















































