3 rakyat Malaysia jadi keldai dadah ditahan di Thailand

13 hours ago 6

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiga lelaki warga tempatan ditahan pihak berkuasa Thailand di wilayah Khon Kaen, semalam disyaki menjadi keldai dadah untuk sindiket antarabangsa.

Dalam operasi itu, polis Thailand turut merampas kira-kira 97 kilogram (kg) methamphetamine jenis kristal yang ditemui dalam tren yang sedang menuju ke Bangkok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat lengkap berhubung penahanan tersebut telah disalurkan melalui Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) di sempadan negara.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek yang ditahan merupakan anak jati Sarawak berusia lingkungan 20-an.

“Mereka diupah sindiket dadah antarabangsa untuk membawa dadah dari Laos ke Thailand menggunakan laluan kereta api dengan bayaran 60,000 Thai Bath.

“Kita juga sedang menyiasat kaitannya dengan sindiket Malaysia,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, semua lelaki berkenaan dipercayai terpedaya dengan tawaran upah lumayan sebelum terjerumus sebagai keldai dadah.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah menerima tawaran pekerjaan mencurigakan yang boleh menjerumuskan diri ke kancah jenayah.

Terdahulu, media melaporkan tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan di Khon Kaen selepas pihak berkuasa menemui tiga beg pakaian tidak dituntut berisi dadah dalam tren dari Nong Khai ke Terminal Pusat Krung Thep Aphiwat, Bangkok.

Operasi tersebut dijalankan oleh Biro Siasatan Pusat (CIB) dengan kerjasama Kereta Api Negara Thailand (SRT), Bahagian Pencegahan Jenayah serta Polis Lebuh Raya bagi mempertingkatkan keselamatan penumpang dan membanteras jenayah dalam perkhidmatan rel.

Menurut kenyataan, pegawai rondaan pada 8 April lalu mengesan tiga beg besar berwarna hitam yang berkunci kombinasi diletakkan di rak bagasi sebuah gerabak ketika tren melalui wilayah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |