PETALING JAYA – Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited memastikan hak, kepentingan dan kemajuan Sabah serta Sarawak terus dipelihara.
Memaklumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelas beliau, komitmen Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan MA63 telah dizahirkan secara berterusan sejak penubuhan Jawatankuasa Devolution of Authority (JKDA) pada tahun 2016 yang
dipengerusikan bersama oleh Tan Sri Anifah Aman dan Datuk Seri Nancy Shukri.
“Usaha ini diteruskan pada tahun 2018 melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63), dengan sokongan Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh mendiang Datuk VK Liew, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-
Undang) bersama Peguam Negara.
“Pada tahun 2020, ketika Datuk Seri Panglima Maximus @ Johnity Ongkili menerajui portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Kerajaan Persekutuan menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dengan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) sebagai sekretariat.
“Portfolio ini turut pernah disandang oleh Datuk Armizan Ali antara Disember 2022 hingga Disember 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustpaha berkata, di bawah Kerajaan Madani, platform rundingan MA63 telah diperkukuh melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri.
Manakala katanya, Jawatankuasa Teknikalnya dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Sehingga kini, sebanyak 29 perkara MA63 telah dibincangkan melalui MTPMA63, dengan 13 perkara berjaya diselesaikan (sembilan di bawah Kerajaan Madani, empat di bawah Kerajaan terdahulu).
“Ini adalah pencapaian terbaik Kerajaan Madani berbanding Perdana Menteri
dan Kerajaan terdahulu dalam menguruskan pelaksanaan MA63,” katanya.
Tambah beliau, baki 16 perkara lagi kini sedang dirunding secara berterusan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak melalui MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikalnya, dengan pemantauan rapi oleh BHESS.
Malah katanya, sebagai usaha meningkatkan ketelusan dan akses perkembangan
pelaksanaan MA63, Fadillah telah bersetuju supaya BHESS, JPM membangunkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah MA63.
“Ia dijangka boleh diakses melalui Portal Rasmi BHESS, JPM pada penghujung Januari 2026,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

1 month ago
30

















































