Zaidatul Husna galas amanah besar

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Bekas pelari pecut, Zaidatul Husna Zulkifli menyifatkan pelantikannya sebagai Pengurus Besar (GM) baharu Olahraga Malaysia (MA) sebagai satu tanggungjawab besar perlu digalas sebaik mungkin.

Husna, 31, dilantik menggantikan tempat Norhayati Karim yang kini memikul peranan sebagai Setiausaha Agung MA dan bakal memulakan tugas secara rasmi bulan depan.

Mengakui gementar dengan peranan baharu, bekas pelari dari Kedah itu tetap berazam untuk memberikan yang terbaik demi memastikan suara dan kebajikan atlet terus diberi keutamaan.

PRESIDEN MA, Datuk Karim Ibrahim (depan, tiga dari kanan) bersama antara barisan baharu dilantik dalam struktur pengurusan badan induk itu. – OLAHRAGA MALAYSIA

Pasangan kembar kepada ratu pecut negara, Zaidatul Husniah itu masih berkhidmat sebagai pegawai belia dan sukan secara kontrak di Universiti Utara Malaysia (UUM), namun akan menamatkan perkhidmatan itu demi memberi tumpuan penuh kepada MA.

“Terus terang, saya rasa gementar juga kerana jawatan ini besar. Tetapi saya ambil ia sebagai satu cabaran dan akan cuba laksanakan tugas dengan penuh komitmen.

“Tugas saya nanti lebih kepada mengurus bahagian pentadbiran serta menyusun semula strategi pengurusan organisasi,” jelasnya.

BARISAN bekas atlet kebangsaan dan pegawai tinggi kerajaan yang baru dilantik dalam struktur pengurusan MA. – OLAHRAGA MALAYSIA

MA turut mengumumkan penyertaan bekas-bekas atlet kebangsaan dan pegawai tinggi kerajaan dalam struktur pentadbiran badaninduk itu bagi memperkukuhkan organisasi dengan input daripada lapangan.

Antara nama lain dilantik ialah Datuk Zaiton Othman (bekas ratu heptatlon), G. Shanti (bekas pemegang rekod 100m yang masih lagi memegang catatan 200m kebangsaan) dan pemegang rekod lompat bergalah Malaysia, Roslinda Samsu.

Tokoh sukan berpengaruh, Datuk Seri Harjeet Singh turut tersenarai sekali gus mencerminkan kesungguhan MA memperkukuh struktur pengurusan baharu mereka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |