PASIR MAS – Lima suspek termasuk pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majisret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan dekat sini pada 27 Jun lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh iaitu Mohd. Faizal Ismail, 35, isterinya, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, atau dikenali sebagai Yuyu yang merupakan pemilik salun dan kedai makan, Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd. Khairu Azani Mohd. Lawi, 39, bersama Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Syed Farid Syed Ali.
Mohd. Faizal merupakan abang kepada Mohamad Farid dan mereka berdua adalah bapa saudara kepada Mohamad Asmawi.
Pengakuan tidak direkodkan oleh kesemua tertuduh berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Faizal didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 115 gram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong simpang tiga Jalan Gajah Mati dekat Kampung Banggol Chicha di sini kira-kira pukul 11.15 pagi pada 27 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Faizal dan Nur Ayu Fatihah dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 112 gram di sebuah rumah di Kampung Banggol Chicha di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari yang sama.
Berdasarkan pertuduhan ketiga, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 19,866 gram di kawasan ladang lembu di belakang sebuah rumah di Kampung Banggol Chica di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada hari tersebut.
Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala Mohd. Faizal bersama Nur Ayu Fatihah diwakili peguam, Mohd. Norazihan Adnan dan tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan sebutan semula kes dan laporan kimia.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, taktik licik sepasang suami isteri yang merupakan pemilik salun dan sebuah kedai makan menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kg di dalam timbunan tahi lembu di sebuah kandang di sini, terbongkar dalam enam siri serbuan di sini dan Tumpat, pada 27 Jun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @Mohd Salahuddin Che Ali berkata, taktik itu terbongkar selepas polis menyerbu rumah pasangan berkenaan di Banggol Chicha dan menemul pil kuda seberat 112 gram.
Katanya, polis kemudian menyerbu kandang lembu di bela-kang sebuah lagi rumah pasangan suami isteri itu di Kampung Bukit Tunku di sini sebelum menjumpai sebanyak 19.86 kilogram pil kuda yang disembunyikan di dalam timbunan tahi lembu.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 35.4 kg dengan nilai RM5.04 juta dan dipercayai untuk dijual kepada golongan pelajar.
“Siasatan lanjut mendapati, pasangan suami isteri itu turut memiliki beberapa perniagaan termasuk restoran makanan laut, perniagaan dalam talian dan salun untuk menjalankan kegiatan pengubahan wang haram, hasil jualan dadah” ujarnya. – KOSMO! ONLINE