‘Wujud ya lelaki macam ni?’

6 hours ago 4

PETALING JAYA – Di saat ramai mengeluh tentang pasangan yang culas nafkah, satu perkongsian di media sosial mencuri perhatian apabila memaparkan sisi berbeza seorang suami yang disifatkan bukan sahaja bertanggungjawab, malah tinggi ihsan terhadap isterinya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik @Memeyitsmyname, dia menceritakan kisah kakaknya yang dikatakan bertemu pasangan hidup yang menghargai pengorbanan isterinya sejak sebelum berkahwin lagi.

Menurutnya, abang iparnya pada awalnya meminta kakaknya berhenti kerja selepas bernikah, sebelum mengambil alih komitmen kewangan termasuk membayar pinjaman pendidikan dan peribadi isterinya.
“Dia bagi nafkah RM3,000 sebulan termasuk belanja dapur. Lepas itu dia belikan sebuah rumah sebagai aset untuk kakak saya, dan sewa bulanan masuk akaun kakak sebagai nafkah tambahan.

“Setiap kali abang ipar dapat bonus pula, separuh daripadanya akan dimasukkan ke akaun Tabung Haji kakak saya, malah dua kali dia bawa kakak saya tunaikan haji,” katanya.

Mengulas lanjut, wanita itu berkata perubahan kehidupan kakaknya bukan berlaku sekelip mata, sebaliknya melalui proses langkah demi langkah sehingga mencapai kestabilan selepas hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga.

Dalam masa sama, wanita itu mengakui kakaknya seorang yang penyabar serta reda dengan jalan hidupnya, malah bertahun-tahun menjaga ibu mentua yang uzur terlantar di katil walaupun dikatakan bukan menantu pilihan.

“Sekarang mereka sekeluarga tinggal di luar negara. Ringan tangan je nak muat naik gambar dia main salji depan rumah, tapi kakak dan abang ipar jenis tak main media sosial, tak berani nak muat naik.

“Syukur sangat abang ipar saya hargai pengorbanan kakak,” katanya.

Apabila orang ramai bertanyakan apakah doa atau amalan yang dilakukan sehingga dianugerahkan ‘suami dari syurga’, wanita itu menjawab kakaknya banyak berkorban demi membantu adik-beradik sejak dari zaman bujang lagi.

“Duit pinjaman belajar pun dia simpan untuk belikan baju raya adik-adik. Dulu awal 2000-an gaji RM3,000, separuh digunakan untuk sara adik-beradik. Tak pernah bercuti macam orang lain,” tulisnya.

Wanita itu percaya segala pengorbanan tersebut dibalas Allah dengan rezeki yang lebih baik pada hari ini, termasuk kehidupan yang lebih selesa.

Di ruangan komen, rata-rata orang ramai meluahkan rasa sebak dan kagum, selain menganggap kisah tersebut sebagai bukti masih wujud lelaki yang bertanggungjawab, menghargai isteri serta meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

“Wujudkah lagi lelaki macam ni? Macam tak percaya. Saya doakan yang baik-baik untuk kakak awak,” komen Nazirah.

“Semoga yang baik-baik ini jadi inspirasi, dan yang membaca turut dikurniakan pasangan yang saling memuliakan,” tulis Hashim.

“Orang baik Allah pun balas benda-benda baik. Untung kakak awak. Moga berbahagia sampai ke syurga,” komen Ain Bella pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |