Wonderkid Arsenal mampu atasi Messi

8 hours ago 5

SINGAPURA – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji kualiti wonderkid, Max Dowman sehingga ramai mula membandingkan bintang muda berusia 15 tahun itu dengan pemenang Ballon D’Or lapan kali, Lionel Messi.

Arteta menyifatkan transisi dipamerkan Dowman daripada produk bakat akademi ke tuntutan yang lebih tinggi dalam skuad senior cukup istimewa walaupun usianya masih terlalu muda dan mentah untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Jelas sekali apa dilakukannya ketika berada di atas padang adalah sesuatu yang cukup luar biasa bagi seorang pemain berusia 15 tahun. Kami gembira untuk memilikinya dalam pasukan.

“Keluarganya dan semua orang di sekeliling kelab serta akademi banyak membantunya hingga meletakkannya dalam situasi sekarang. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk anda memperoleh peluang sebenar seperti sekarang,” katanya.

Biarpun hanya bermain 30 minit terakhir, tetapi Dowman terus memperagakan bakat besarnya apabila sekali lagi menyinar menerusi persembahan hebatnya ketika menewaskan Newcastle United 3-2 dalam aksi pramusim di Stadium Nasional Singapura kelmarin.

Menariknya, pemain tengah menyerang yang boleh beraksi di posisi sayap kanan itu berjaya beberapa kali mengucar-ngacirkan benteng pertahanan termasuk meraih sepakan penalti yang disudahkan oleh Martin Odegaard untuk memenangi perlawanan itu.

Keyakinan luar biasa ditunjukkannya tidak mustahil akan menyaksikan dia kerap diberikan peranan untuk bermain dalam skuad utama musim ini.

“Lionel Messi pun tidak sebagus Dowman ketika berusia 15 tahun. Dia adalah seorang lagi bintang yang pasukan ini miliki,” kata salah seorang peminat Arsenal di media sosial.

Selain Odegaard, dua lagi gol Arsenal diperoleh menerusi Mikel Merino dan jaringan sendiri Alex Murphy, manakala Anthony Elanga serta Jacob Murphy menghasilkan dua jaringan buat Newcastle. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |