Wan Ahmad Farid buka lebaran baharu institusi kehakiman

7 hours ago 3

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hadir bagi majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Wan Ahmad Farid, 62, yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib, awal bulan ini.

Terdahulu pada sebelah pagi, beliau telah selesai mengangkat sumpah di Istana Negara dengan pengurniaan surat cara pelantikan yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Wan Ahmad Farid, 62, yang berasal dari Kuala Terengganu, memulakan kerjaya dalam bidang perundangan selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) daripada University of West London pada 1985 dan Sijil Amalan Guaman (Certificate in Legal Practice – CLP) dari Universiti Malaya pada 1986.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari 2003 hingga 2008, sebelum menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Pada 2024, Wan Ahmad Farid merupakan hakim yang memainkan peranan penting dalam membuat keputusan dalam kes kepentingan awam melibatkan saman pemula difailkan peguam Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berhubung kuasa YDPA dalam mengisytiharkan darurat.

Sebelum ini teka- teki kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara akhirnya terjawab apabila Wan Ahmad Farid dilantik sebagai Ketua Hakim Negara baharu.

Menerusi kenyataan media oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah, Mahkamah Persekutuan Malaysia, Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai (hari ini) di Istana Negara.

Kenyataan itu memaklumkan berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.

Selain Wan Ahmad Farid turut mengangkat sumpah jawatan ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Abu Bakar menggantikan Hakim Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu manakala Azizah dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Hakim Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang bersara.

Sementara itu dalam prosiding sama, seramai lapan hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan, manakala 14 pesuruhjaya kehakiman disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka yang ke Mahkamah Rayuan ialah Dr. Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim, Datuk Nadzarin Wok Nordin, Meor Hashimi Abdul Hamid dan K.Muniandy.

Pesuruhjaya kehakiman yang dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Tinggi ialah Maslinda @ Linda Ainal, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Datuk Choong Yew Choy, Saiful Azian Mokhtar, Evawani Farisyta Mohamad, S.Indra Nehru, M. Sumathi, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Wendy Ooi, Rosli Yusoff, Dr. Hazlina Hussain, Roszianayati Hussain, dan Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Pada 1 Julai lalu, Tengku Maimun menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak pada hari terakhir beliau berkhidmat sebagai hakim tertinggi negara di Mahkamah Persekutuan.

Tengku Maimun menyampaikan ucapan terima kasih itu bagi mewakili dirinya dan seorang lagi hakim Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang turut bersara wajib. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |