PETALING JAYA – “Isteri ni dah lama perasan….setiap malam sebelum tidur mesti skrol gambar motosikal lepas tu ‘save’ (simpan). Nampak sangat dia teringin…”
Itu antara ‘kenangan’ luahan manis isteri kepada penunggang motosikal yang maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat, Klang semalam.
Menerusi hantaran yang dibuat pada tahun 2022 itu, wanita berkenaan yang menggunakan profil Nor Nadia di media sosial berkata, dia memutuskan untuk memenuhi keinginan suaminya, Amirul Hafiz Omar untuk memiliki sebuah motosikal pada ketika itu disebabkan sikap bertanggungjawab lelaki tersebut.
“Tak apa lah, hari ni isteri awak tunaikan impian awak selama ini. Anggap lah hadiah ini kerana menjaga keluarga kita dengan baik, jalankan tanggungjawab tanpa mengeluh. (Juga) sabar melayan kerenah isteri ni. Semoga Allah limpahkan lagi rezeki buat keluarga kita,” katanya.
Turut disertakan, video yang memaparkan reaksi gembira Allahyarham ketika menerima hadiah tersebut daripada isterinya itu.
Hantaran tersebut menjadi sorotan orang ramai yang terkesan dengan kejadian tragis berkenaan, malah turut meninggalkan komen ucapan takziah pada perkongsian tersebut, hari ini.
“Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali,” tulis @Nur Alia Athila.
“Salam takziah kak, lawan kak sampai dia tu terduduk!,” komen pengguna lain.
“Semoga rohnya dirahmati Allah hingga ke jannah.. salam takziah,” ucap @Mazli Hassan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, tindakan seorang lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian tragis di Jalan Raya Barat, Klang semalam.
Kemalangan kira-kira pukul 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa lelaki berusia 30-an melambung ke udara sebelum tercampak ke atas kereta lain dan meninggal dunia di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
6














































