PETALING JAYA – Seorang lelaki yang terlantar sakit dan hidup bersendirian dalam rumah yang tidak terurus, hanya bertemankan ayam serta kucing peliharaannya mengundang sebak orang ramai.
Perkara itu dikongsikan menerusi TikTok oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin, yang menziarahi rumah lelaki berkenaan bersama beberapa wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kampung Bukit Piatu, Melaka.
Menurut wakil JPKK, lelaki yang dikenali sebagai Pak Cik Mazalan itu dilaporkan semakin uzur sejak awal tahun ini.
“Dulu keadaannya tidak seteruk sekarang. Sejak awal tahun ini, keadaannya semakin merosot,” katanya.
Difahamkan, jiran tetangga pernah cuba membantu termasuk membersihkan rumah Pak Cik Mazalan, namun dihalau kerana dipercayai mengalami masalah kesihatan fizikal dan mental.
Susulan lawatan itu, Pak Cik Mazalan telah dibawa ke Hospital Besar Melaka untuk pemeriksaan lanjut sebelum dipindahkan ke pusat jagaan. Kos penjagaan sepenuhnya akan ditanggung oleh pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Perkongsian itu menyentuh hati orang ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap pak cik tersebut yang terlantar sakit.
“Waktu dia sebut ‘sejuk’ tu, berdebar dah saya ingat pak cik tu dah tak ada,” komen @Syahaider.
“Mana lah anak dia sanggup biar ayah sendiri hidup macam ni,” luah @Niza.
“Kalau dia tiada keluarga, bawalah ke rumah kebajikan. Biar ada orang pantau makan minum dan kesihatan dia,” tulis @Nesloicee. – KOSMO! ONLINE
@kalsomnoordin Kisah hidup Encik Mazalan yang hidup bersendirian. Alhamdulillah hari ini saya dan team datang membantu apa yang patut. Kita sama-sama doakan semoga segala urusan En Mazalan dipermudahkan 🤲 Terima kasih JKM Melaka Tengah, MAIM dan Hospital Besar Melaka. 5.5.2025 #wakilrakyatuntukrakyat #wrurdunpengkalanbatu #kaksomuntuksemua #pengkalanbatubersihindahharmoni #dunpengkalanbatu ♬ Very Sad – Enchan