PASIR MAS – Lima suspek termasuk pasangan suami isteri dan dua sekeluarga yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda seberat 35.4 kilogram (kg) dengan nilai RM5.04 juta tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk pendakwaan.
Kelima-lima suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.10 pagi dengan menaiki trak polis.

Kesemua suspek dijangka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, puluhan ahli keluarga kelima-lima suspek turut kelihatan di pekarangan mahkamah.
Ahli keluarga suspek menjerit malah ada yang menangis semasa mereka turun dari trak polis.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, taktik licik sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah kedai makan menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kg di dalam timbunan tahi lembu di sebuah kandang di Kampung Bukit Tunku, di sini, terbongkar dalam enam siri serbuan, pada 27 Jun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @Mohd Salahuddin Che Ali berkata, taktik itu terbongkar selepas polis menyerbu rumah pasangan berkenaan di Banggol Chicha dan menemul pil kuda seberat 112 gram.
Katanya, polis kemudian menyerbu kandang lembu di bela-kang sebuah lagi rumah pasangan suami isteri itu di Kampung Bukit Tunku di sini sebelum menjumpai sebanyak 19.86 kg pil kuda yang disembunyikan di dalam timbunan tahi lembu.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 35.4 kg dengan nilai RM5.04 juta dan dipercayai untuk dijual kepada golongan pelajar.
“Siasatan lanjut mendapati, pasangan suami isteri itu turut memiliki beberapa perniagaan termasuk restoran makanan laut, perniagaan dalam talian dan salun untuk menjalankan kegiatan pengubahan wang haram, hasil jualan dadah” ujarnya. – KOSMO! ONLINE