[VIDEO] Budak-budak serbu datang beraya dekat balai polis

3 hours ago 5

PETALING JAYA – Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah balai polis bertukar ceria apabila sekumpulan kanak-kanak ‘menyerbu’ masuk untuk beraya baru-baru ini.

Menerusi perkongsian pengguna TikTok, @Dik_yull, kejadian unik itu dikatakan berlaku di Balai Polis Pangkor, Perak apabila kanak-kanak berkenaan dengan berani datang memberi salam dan menyatakan hasrat untuk beraya.

“Seumur hidup akak, pertama kali orang mai beraya di balai, siap bagi salam kata nak beraya,” katanya dalam hantaran tersebut.

Lebih mencuit hati, kanak-kanak itu bukan sahaja tidak kekok, malah dilihat bersahaja menikmati juadah raya seperti lemang dan rendang yang kebetulan disediakan di balai berkenaan.

Menurutnya, kehadiran mereka disambut baik anggota polis yang bertugas, malah kanak-kanak tersebut turut dipelawa masuk untuk menikmati makanan bersama.

“Mai dik, masuk makan lemang dengan rendang… nasib pagi raya ada makan-makan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kanak-kanak tersebut memilih untuk duduk di atas karpet kerana bimbang mengotorkan sofa yang tersedia dia balai.

“Budak lain tak berani mai balai, depa elok mai beraya… duk atas karpet takut sofa kotor katanya,” jelasnya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai yang rata-rata terhibur dengan keberanian dan keletah spontan kanak-kanak berkenaan, selain memuji layanan mesra anggota polis ketika menerima kunjungan tersebut.

“Balik rumah nanti jelas elok-elok bila cerita hampa (kamu) pergi balai, takut ada mak pak (ibu ayah) terkejut risau anak buat hal pagi-pagi raya,” kata Syur.

“Balai pun balai lah dik..janji dapat duit raya,” seloroh @Iron Doemon.

Banyak duit raya boleh dapat…bijak adik-adik ni,” kata @Nisa Thomas.

“Sebenarnya, polis-polis tu pun seronok. Ada la suasana raya bila budak-budak datang beraya,” komen Ila. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |