[VIDEO] ‘Aku doa yang melanggar dapat balasan setimpal’

20 hours ago 6

PETALING JAYA – Pasangan suami isteri yang sedang menaiki motosikal dilanggar lari oleh satu kenderaan pikap dalam kejadian menghala ke Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi video yang tular di media sosial, pada mulanya kelihatan pasangan tersebut sedang menaiki motosikal di lorong pertama menghala ke plaza tol berkenaan.

Secara tiba-tiba datang sebuah pikap jenis Nissan Navara telah masuk ke lorong yang sedang dilalui motosikal itu, tanpa memberikan isyarat.

Tindakan pemandu tersebut menyebab pikap dipandunya melanggar motosikal itu dan kedua-dua pasangan suami isteri tersebut terjatuh memasuki lorong kecemasan, manakala pemandu pikap terus meninggalkan mangsa.

Penunggang motosikal iaitu si suami kemudian bangun dan bergerak perlahan ke arah isterinya yang masih terbaring di atas jalan.

Dalam masa sama, kelihatan dua individu yang menaiki motosikal lain turut berhenti di tepi jalan bagi memberikan bantuan.

Sementara itu, seorang pengguna TikTok turut memuat naik video selepas kejadian yang mana pikap tersebut sedang melepasi Plaza Tol Jalan Duta.

“Ni ni, langgar orang lari. Dapat dapat dapat (rakam nombor kenderaan). Dia langgar, dia langgar,” kata seorang wanita dalam video tersebut.

Insiden tersebut mengundang kemarahan orang ramai dan mereka kemudian turut mencari pemilik pikap itu di media sosial serta menularkan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

Seorang daripada pemilik TikTok ZamPenang yang merupakan abang kepada mangsa wanita turut meninggalkan komen pada video tersebut.

“Terima kasih dengan rakaman cik. Saya abang kandung kepada mangsa. Dua motosikal konvoi dari Alor Setar ke Kuala Lumpur. Yang di belakang tu anak dan menantu saya sempat rakam dengan ‘dashcam’ (kamera papan pemuka).

“Dua mangsa terlibat adik perempuan saya dan suami. Yang parah adik perempuan saya dan sekarang masih lagi di zon merah Hospital Sungai Buloh pendarahan di otak, masih tak sedar,” katanya.

Orang ramai turut mendoakan kesembuhan mangsa dan berharap kes tersebut dibawa ke muka pengadilan.

“Aku doa supaya yang melanggar dapat balasan setimpal daripada Allah di dunia dan akhirat,” kata pemilik Facebook Kheyrol Anuar.

“Cari sampai dapat dan dakwa di atas kecuaian yang boleh menyebabkan orang tidak bersalah hilang nyawa,” komen Hazard Eden.

“Jangan lupa saman ‘kaw-kaw’. Jangan bagi muka langsung,” komen pengguna TikTok Wan.

“Semoga dipermudah segala urusan rawatannya dan cepat sihat,” kata Zieraieda. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |