‘Nak jadi askar tapi tinggi tak cukup, PLKN pun jadilah’

19 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Minat mendalam untuk menyertai angkatan tentera mendorong Nur Adila Syafinas Mohd. Shafirdaus, 18, menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri Kedua secara sukarela selepas hasrat asalnya menjadi askar tidak kesampaian kerana faktor ketinggian.

Pelatih dari Kepong itu mengakui kecewa apabila namanya tidak tersenarai dalam sistem pemilihan, namun tekadnya tidak terhenti di situ.

“Saya memang nak masuk PLKN dari dulu, sebab nak cabar diri. Saya minat jadi askar, tapi ketinggian saya tak cukup.

“Jadi saya fikir, PLKN pun jadilah. Ini peluang untuk saya rasa pengalaman tu,” katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, hari ini.

Menurutnya, selepas beberapa kali menyemak sistem pencalonan, dia akhirnya menjumpai borang pendaftaran sukarela secara dalam talian dan terus mendaftar.

“Saya terus maklumkan pada mak dan ayah. Masa tahu diterima, saya terus cakap dekat umi, ‘Finas dapat PLKN!’ Kami semua teruja,” katanya yang akan menjalani latihan selama 45 hari.

Sementara itu, bagi seorang lagi pelatih V. Manisda, 18, menyifatkan program tersebut sebagai peluang untuk membina disiplin diri serta menambah kenalan.

“Saya tak kenal sesiapa di sini, tapi saya harap dapat ramai kawan. Saya seorang yang aktif dan nak cuba semua aktiviti di sini. Rasa gembira sangat bila dah mula kenal ramai orang,” ujarnya.

Sementara itu, Ivyanna Errica Peter, 18, dari Penampang, Sabah pula menyertai PLKN atas dorongan rakan-rakan dan keinginan memperbaiki kematangan diri.

“Awalnya saya tak tahu pun pasal PLKN. Tapi bila kawan-kawan beritahu dan ada sponsor (tajaan seperti) makan serta elaun, saya fikir baik ambil peluang ini. Harapan saya nak matang dari segi mental dan disiplin,” jelasnya yang hadir bersama 12 rakan senegeri.

PLKN Siri 2/2025 dilaksanakan secara berasingan antara pelatih lelaki dan perempuan di dua lokasi berbeza, iaitu Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang dan Rejimen 515 di Kuala Lumpur.

Seramai 550 pelatih melibatkan seramai 350 pelatih lelaki dan 200 pelatih perempuan dijangka memulakan latihan selama 45 hari bermula hari ini hingga 24 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |