Nahas Bukit Subang: ‘Sukar untuk saya reda hilang dua orang tersayang’

20 hours ago 6

PASIR SALAK – “Sukar untuk saya terima hakikat hilang dua orang tersayang.”

Itu kata Mohamad Alif Asripan, 30, lelaki yang kematian anak dalam kandungan isterinya, Norfazlin Mohamad Fadzil, 29, yang berusia lima bulan dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang susur Lebuh Raya Guthrie di Sungai Buluh, Selangor pada Khamis lalu.

Ini disusuli dengan berita kematian isterinya tidak lama selepas pengebumian jenazah anaknya di sini pada Jumaat lalu.

Menurutnya, dalam kemalangan itu, isterinya mengalami kecederaan parah sebelum menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun, Nor Afina yang cedera dalam kemalangan itu masih dirawat di hospital sama.

Katanya, akibat kemalangan, doktor melakukan pembedahan untuk menyelamatkan kandungan isterinya yang berusia lima bulan namun bayi perempuan dalam kandungan itu disahkan meninggal dunia selepas pembedahan.

“Saya selesaikan urusan pengebumian anak yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jeneris di sini pada pukul 2.30 petang Jumaat.

“Selepas itu saya balik semula ke Hospital Sungai Buloh. Saya dapat tahun isteri saya sudah meninggal pada pukul 5.56 petang. Saya rasa sangat sedih kerana baru sahaja kehilangan anak perempuan dalam kandungan isteri, kini hilang seorang lagi.

“Jenazah isteri dikebumikan bersebelahan dengan kubur anak kami di tanah perkuburan yang sama pada pukul 2.45 pagi Sabtu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, kehilangan dua orang tersayang sangat sukar diterima apatah lagi kejadian berlaku sangat pantas.

Katanya, dia masih teringat saat-saat akhir bersama isterinya sebelum kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan balik ke rumah di Ladang Bukit Talang, Kuala Selangor.

“Ketika melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, isteri saya ternampak buaian beroda yang besar di tepi lebuh raya. Dia kata buaian itu cantik dan kata nak bawa anak bermain di situ pada hari cuti bekerja. Masa itu dia kelihatan sangat seronok dan tersenyum ke arah saya.

“Nampaknya hasratnya untuk membawa anak bermain di buaian besar itu tidak tercapai,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |