‘Kalau tak buang cepat, isteri saya mungkin meninggal dunia’

19 hours ago 7

PETALING JAYA – Atas faktor nyawa, pelawak Achey mendedahkan kedua-dua tiub fallopian isterinya, Nur Hasanah Yahaya terpaksa dibuang yang mengakibatkan mereka tidak boleh mendapat zuriat sendiri.

Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 38, berkata demi keselamatan insan tersayang dia reda tidak ditakdirkan menimang cahaya mata malah menerima ketentuan Allah dengan berlapang dada.

“Isteri saya sebenarnya terpaksa potong tiub fallopian bukan satu tetapi kedua-duanya sebab satu tersumbat dan satu lagi membengkak.

“Dan kalau tak buat secepat mungkin (pembedahan), isteri saya berkemungkinan akan meninggal dunia.

“Jadi, kita buat dan isteri saya juga sudah reda. Masa itu dia minta maaf dekat saya sebab tak dapat bagi zuriat. Tapi saya kata banyak cara lagi,” katanya dalam perkongsian dalam program audio siar.

Menurut anggota kumpulan lawak Bocey itu, perkhabaran mengenai isterinya diterima ketika bertarung pada separuh akhir sebuah program lawak yang membuatkan dirinya sangat emosi.

Sebelum itu, pelbagai usaha dan kaedah dilakukan selain mengikuti saranan pakar termasuk menjaga pemakanan dan menjalani prosedur kesuburan.

“Keperitan yang kami lalui banyak dengan pada mulanya kami buat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dan permanian beradas (IUI) serta ikut prosedur, jaga makan dan sebagainya.

“Sampai satu tahap adalah malam semi final saya di sebuah program lawak, isteri saya dimasukkan ke hospital disebabkan dapat berita dia sakit dekat rahim.

“Orang ingat isteri saya memang buat IVF, tapi sebenarnya itu adalah rancangan kedua bila kita jumpa pakar sakit puan, kita faham bila semua orang kata pergi berurut dan sebagainya.

“Dan hari itu juga kami terpaksa menerima berita itu (buang tiup) untuk selama-lamanya. Tapi isteri saya ini sangat power. Dia sempat cakap sebelum pembedahan minta maaf tak dapat beri zuriat, kalau pembedahan dia tak berjaya anggap itu perjuangan dia,” ujarnya.

Berikutan pengorbanan besar isterinya, Achey menegaskan dia tidak sesiapa pun di luar menyentuh atau memperlekehkan isterinya sebelum ini sanggup bekerja sebagai tukang cuci dan menggadaikan cincin perkahwinan demi kelangsungan hidup.

“Sebab itu bila orang tanya aku ‘manjakan isteri’ apa semua sebab dia dah lalui apa yang kami dah lalui. Susah senang, bergadai semua.

“Kalau anda cakap bagi orang rumah gelang emas apa semua sebab dia cincin kahwin pun dia gadai untuk aku. Dia pernah jadi tukang cuci untuk aku bertahan dalam industri. Faham tak?

“Jadi tolong netizen, kalau anda mengata pasal isteri saya, pakai gelang emas dan sebagainya itu adalah ganjaran atas keyakinan terhadap suami,” kongsinya.

Achey dan Nur Hasanah yang sudah bergelar suami isteri selama 14 tahun mengambil seorang anak angkat perempuan bernama Nur Tiara Zinnirah, 7, pada 2018. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |