Beregu negara lolos ke separuh akhir Piala Asia 2025

19 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Pasukan beregu sepak takraw negara berjaya melangkah ke pentas separuh akhir Piala Asia Kuala Lumpur 2025 selepas menewaskan Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Malaysia yang dibarisi Noraizat Nordin selaku ‘killer’ dan Aidil Aiman Azwawi sebagai ‘feeder’ tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan straight set 15-11, 17-14 ke atas gandingan Taiwan, Chung Ching Lin dan Chan Ming Lung.

Walaupun perlawanan tampak mudah pada set pertama, skuad negara diuji dengan tekanan ketika set kedua apabila pasangan Taiwan bangkit memberi tentangan sengit, namun pengalaman Noraizat banyak membantu menamatkan perlawanan dengan bergaya.

Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan Malaysia ke peringkat kalah mati, malah turut memadam kekecewaan selepas tumbang kepada Thailand 0-2 malam semalam.

Malaysia yang menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua di belakang Thailand, sekali gus dijadual menentang juara Kumpulan A, India dalam aksi separuh akhir yang akan berlangsung esok.

Jurulatih negara, Aswadi Abdullah menuntut anak-anak buah tidak memandang ringan cabaran India selepas mencatat kemenangan ke atas Indonesia dan Brunei di peringkat kumpulan.

Menurut Aswadi, kelebihan masih memihak kepada Malaysia tetapi berharap pemainnya meningkatkan prestasi untuk menempah tiket ke pentas final.

“Kalau tengok servis, Noraizat ada peningkatan ketara. Cuma Aidil perlu lebih konsisten dalam permainan. Kita harap mereka dapat kekalkan fokus kerana setiap perlawanan menuntut ketahanan fizikal dan mental berbeza.

“Esok adalah perlawanan penting, nak ataupun tidak, kita wajib menang ke atas India untuk mara ke pentas akhir. Harapan kami barisan kejurulatihan adalah mereka tunjukkan permainan sebenar,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |