PETALING JAYA – Datang berempat, pulang tertukar salah seorang dengan ‘penunggu’ jeram. Itu yang dilalui seorang lelaki bersama dua rakannya sewaktu bercuti di kawasan air terjun di sebuah negeri di Pantai Timur.
Kisah seram itu diceritakan seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Muhammad Irsyad pada ruangan komen salah satu hantaran berkaitan kawasan berhantu di negeri tersebut.
“Saya ada satu cerita di jeram, sangat seram. Mungkin dia (jelmaan menyamar rakan) tak boleh duduk situ, aku pun tegur lah ‘kau marah aku ke?’. Lagipun mana ada rumah dekat sini, kami berempat pun terus naik kereta.
“Dalam lima hingga 10 minit naik kereta nak keluar dari jeram, tiba-tiba kawan aku kata nak tidur kat jeram dan bagitahu ‘aku nak balik, aku nak balik’. Kami pun bagitahu lah, memang kita nak balik lah ni.
“Dia meracau dalam kereta. Satu kerja nak urus, asyik bagitahu ‘nak balik, nak balik’. Kawan aku pegang dia, dah panik sebab kekuatan dia ni lain macam, sangat kuat,” katanya yang memaklumkan kejadian berlaku pada 2021.
Lelaki itu berkata, mereka kemudian mencari surau berdekatan dan selesai solat maghrib, mereka meminta bantuan imam di situ.
“Imam pun pergi dekat kami, nak tahu imam cakap apa? ‘Eh, kau bawa balik benda lain. Pergi hantar balik’. Kami pun terkejut lah, benda apa kami bawa balik ni? Sudahnya, imam pergi sekali dengan kami ke jeram tu untuk hantar benda tu.
“Sampai dekat jambatan, kami tengok ada sosok tubuh orang tengah menunggu. Rupanya tu kawan kami, jadi yang dalam kereta ni? Kau orang fikir lah sendiri siapa kami bawa,” ujarnya.
Muhammad Irsyad berkata, semasa menemui rakannya yang sebenar, dia memaklumkan telah memberitahu kepada mereka mahu ke tandas terlebih dahulu.
“Dia kata masa kami turun dari tingkat dua nak ke tandas, dia perasan orang masih ramai di bawah, tapi yang peliknya tempat parking hanya ada tiga kereta sahaja.
“Masa kami berada dalam tandas untuk salin baju, kawasan saya ni tanya lah soalan ‘kenapa ramai orang tapi tak ada kereta pun’. Yang pelik lagi, kami tak dengar pun suara dia.
“Maknanya dia macam cakap seorang diri, tapi kami tak dengar pun. Selepas itu, kami terus pergi ke tempat kereta dan masa ni pertukaran berlaku. Mengikut apa yang diceritakan oleh kawan saya lah,” katanya.
Katanya, rupa-rupanya rakan tersebut ada meminta mereka untuk menunggunya terlebih dahulu kerana dia mahu ke tandas.
“Tapi kami tak dengar pun suara dia. Kawan saya masuk tandas dan jelmaan kawan saya tu ikut kami ke parking kereta. Masa masuk dalam kereta memang dia tak bercakap langsung, menunduk diam dan kami fikir mungkin dia terasa hati sebab kami tak bagi tidur dekat jeram tu,” ujarnya.
Katanya, sewaktu menemui rakan mereka, dia dalam keadaan lemah, manakala jelmaan tersebut pula keluar sendiri dari kereta kira-kira 15 minit. – KOSMO! ONLINE