KUALA LUMPUR – Modul latihan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 dikekalkan seperti siri terdahulu dengan terdapat sedikit penambahbaikan dalam program berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, penambahbaikan berkenaan melibatkan dari segi pelaksanaan khususnya aspek latihan secara amali.
“Modul latihannya telah kita buat penambahbaikannya, kita juga masih menggunakan modul yang sama.
“Cuma ada sedikit penambahbaikan dari segi melaksanakannya terutama berbentuk amali,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau proses pendaftaran pelatih di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini, hari ini.
Jelasnya, pendaftaran pelatih bagi siri ini dibuka secara rasmi bermula hari ini dan akan diteruskan selama dua hingga tiga hari lagi bagi memberi ruang kepada peserta yang belum sempat melapor diri.
Menurut beliau, latihan bagi siri kedua ini dilaksanakan serentak di dua lokasi melibatkan 550 pelatih dengan mengikut jantina iaitu di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang untuk peserta lelaki dan Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur bagi peserta wanita.
“Di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah kira-kira 350 orang remaja lelaki akan menyertai latihan ini. Kita faham ada yang masih dalam perjalanan, ada juga yang belum bersedia untuk hadir hari ini.
“Kita (JLKN) jangkakan seramai 200 orang remaja wanita akan mendaftar bagi siri ini di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah,” ujarnya.
Beliau berkata, walaupun keutamaan diberikan kepada mereka yang terpilih secara rasmi menerusi sistem, namun JLKN tetap menerima penyertaan secara sukarela berdasarkan kekosongan tempat.
“Setakat ini, kita terima lebih 30 peserta yang hadir secara sukarela atau walk-in, termasuk yang memohon untuk menyertai walaupun tidak dipilih oleh sistem.
“Ramai dalam kalangan mereka yang datang kerana berminat menyertai PLKN dan turut digalakkan oleh ibu bapa masing-masing,” ujarnya.
JLKN dalam kenyataan pada 22 April lalu memaklumkan kesemua pelatih yang dipilih
akan menjalani latihan berbentuk fizikal, mental dan sivik merangkumi modul berintegrasikan 70 peratus latihan asas ketenterdan serta 30 peratus berdasarkan komponen kenegaraan.
Sebelum ini, seramai 116 pelatih PLKN 3.0 siri 1/2025 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari yang bermula pada 12 Jan hingga 25 Feb lepas di Kem Rejimen 515
Askar Wataniah di sini.
PLKN 3.0 siri pertama yang dilaksana selepas tujuh tahun dimansuhkan itu membabitkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun.
Pelaksanaan semula program itu, yang dijalankan secara berperingkat adalah bagi memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia selain melengkapkan mereka dengan ketahanan mendepani cabaran hidup menerusi pengalaman latihan fizikal serta mental. – KOSMO! ONLINE