Versi baharu, Exists rakam semula lagu berhantu Alasanmu

17 hours ago 5

KETIKA ramai meluncurkan lagu baharu, kumpulan rock terkenal Exists kembali dengan merakamkan semula lagu popular mereka, Alasanmu versi 2025.

Lagu yang diterbitkan sekitar 1996 itu merupakan karya yang masih menjadi siulan ramai sehingga hari ini selain beberapa lagu lain seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Jesnita dan Rahsia Pohon Cemara.

Exists yang dianggotai Ezad selaku vokalis , Along (gitar), Musa (bass), Ujang (dram) dan Ajai (keyboard) sepakat berkata, Alasanmu 2025 tidak digubah secara 100 peratus sebaliknya susunan muzik, emosi dan penceritaan disuntik dengan nafas baharu yang lebih terkini.

Menurut Ezad, Alasanmu 2025 bukan sekadar satu gubahan semula tetapi pengakuan jujur dan refleksi peribadi terhadap perjalanan penuh cabaran Exists dalam industri muzik tempatan hari ini.

“Pemilihan ini dilakukan secara bersama, kalau ikutkan jumlah penstriman, Alasanmu merupakan lagu paling banyak orang dengar.

“Rancangan ini sudah tercetus sejak 2022 tetapi akhirnya dilancarkan tahun ini. Namun, saya rasa tiada isu untuk kami lancar semula Alasanmu sebab sentiasa malar segar dan ramai yang masih mendengarnya,” katanya pada sidang media di Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Ezad, pemilihan Alasanmu juga adalah kerana menjadi lagu pertama yang meledakkan nama Exists di Indonesia.

“Kami dikenali di Indonesia disebabkan lagu ini. Kalau di sana, tajuknya ditukar kepada Mencari Alasan.

“Jadi, lagu ini ibarat antara rezeki terbesar kami. Kemudian ada juga yang kaitkan lagu ini untuk mereka yang nak berhenti kerja, macam-macam respons peminat yang diterima sehingga hari ini,” ujarnya.

Berkongsi mengenai jalan cerita lagu tersebut, Ezad berkata, Alasanmu menggambarkan perasaan kecewa akibat pengkhianatan yang dialami mereka sepanjang perjalanan mereka sebagai anak seni.

“Dahulu mungkin orang dengar lagu ini sebagai lagu cinta tetapi sebenarnya dari satu peristiwa yang sangat peribadi iaitu tentang kehilangan kepercayaan, tentang pengkhianatan dalam dunia seni.

Alasanmu merupakan lagu paling tinggi jumlah penstriman merangkumi semua platform muzik dendangan Exists.

“Kami pernah berada di titik paling rendah, tapi kami pilih untuk bangkit dan lagu ini adalah satu bentuk ‘closure’.

“Bukan bersifat balas dendam, tapi untuk lepaskan semua yang terpendam selama ini dengan cara paling bermakna iaitu melalui muzik,” katanya lagi.

Konsert ‘intimate’

Bukan sahaja merakam semula Alasanmu, Exists sekali lagi membuatkan peminat setianya tidak senang duduk apabila mengumumkan bakal mengadakan sebuah lagi konsert iaitu Exists Premium Live@PJ pada 4 Oktober depan.

Bakal berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya, Along berkata, konsert acara tersebut berbeza dengan konsert Slam X Exists di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.

Berkongsi juga mengenai harga tiket yang tinggi berbanding konsert lain, Along memberitahu, peminat akan merasai pengalaman berbeza daripada konsert Exists sebelum ini.

“Konsert ini pun sudah dirancang lama tetapi akan diadakan selepas Slam X Exists. Kali ini, lebih premium dan ‘intimate dengan peminat sebab lokasi tidak begitu besar.

“Kami dan pihak penganjur akan pastikan pembeli tiket membawa pulang memori yang indah dari konsert tersebut, agar berbaloi dengan harga tiket dibayar,” ujarnya.

Menurutnya, pembeli tiket akan menerima beberapa barangan eksklusif Exists dan berpeluang hadir ke sesi latihan (soundcheck) untuk konsert tersebut.

Dikatakan berani mengadakan konsert dua bulan selepas bergandingan dengan Slam, Ajai menegaskan konsep Exists Premium adalah berbeza.

Ajai juga menyangkal keberanian terus mengadakan konsert disebabkan dakwaan setiap konsert Exists tidak pernah gagal.

“Kami tak mahu cakap konsert Exists tidak pernah gagal, perkara itu bahagian promosi yang beritahu. Kami pernah lalui konsert tak ramai datang, cuma sekarang syukur peminat terus zahirkan sokongan.

Tiket konsert dijual pada harga RM368 hingga RM588 menerusi www.jioJx.asia atau talian hotline +6011 1660 1122 (khusus untuk peminat dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) sahaja).

Read Entire Article
Pertanian | | | |