USM perluas menu Rahmah bantu tangani kesan SST pelajar B40

4 hours ago 3

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) memperluaskan penyediaan menu Rahmah di semua kafeteria desasiswanya bagi menangani kesan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap kos sara hidup pelajar, khususnya dalam kalangan B40.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, inisiatif tersebut diyakini mampu memberi kelegaan kepada pelajar terutamanya yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, USM telah mengingatkan pengusaha kafeteria agar tidak menaikkan harga jualan memandangkan mereka masih terikat dengan syarat kontrak asal sebelum pelaksanaan SST.

“Fokus turut diberikan kepada pelajar luar kampus (PETAS), agar mereka turut menerima manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan.

“Dalam jangka panjang, pihak universiti sedang menilai semula kadar sewa premis perniagaan di kampus agar tidak membebankan peniaga, sekali gus mengelakkan kenaikan harga makanan yang dijual di kafeteria,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, satu Jawatankuasa ‘Task Force’ yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlan Amran telah ditubuhkan bagi mengenal pasti inisiatif jangka pendek dan panjang.

“Bagi pelajar yang memerlukan bantuan kecemasan, mereka boleh menghubungi Unit Kebajikan dan OKU, BHEPA. Selain itu, Zawain USM turut menyalurkan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan menerusi peruntukan khas yang disediakan.

“Bantuan secara bersasar kepada pelajar daripada kategori B40 akan diteruskan dan diperkasakan bagi memastikan mereka tidak terkesan secara langsung dengan kenaikan kos semasa,” katanya.

Beliau memberitahu lagi, perkhidmatan Food Bank USM akan terus ditambah baik dan diperluas dengan menyediakan makanan asas lain yang menjadi barang keperluan harian bagi membantu pelajar yang mengalami kekangan kewangan.

“USM juga giat mendapatkan sokongan dan sumbangan daripada pihak luar, khususnya syarikat korporat, bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar.

“Antaranya Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. juga telah bersetuju menyumbangkan nasi lemak setiap hari kepada pelajar bagi memastikan mereka ke kuliah dalam keadaan yang tidak berkelaparan,” jelasnya.

Tambahnya, usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi keutamaan, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |