Usaha cari kotak hitam, naikkan bangkai perlu bantuan pakar -KPN

14 hours ago 7

ISKANDAR PUTERI – Usaha untuk mencari kotak hitam dan menaikkan bangkai helikopter yang terhempas ke dalam Sungai Pulai berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Cabang, Pekajang, Gelah Patah di sini memerlukan bantuan serta kepakaran khusus daripada pelbagai agensi lain.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu perkembangan lanjut berkaitan pencarian kotak hitam helikopter bagi membantu siasatan punca kejadian.

“Kita masih menunggu maklumat daripada kotak hitam. Usaha sedang dibuat dengan menggembleng beberapa agensi termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), APMM dan lain-lain yang mempunyai kepakaran,”katanya selepas melawat lokasi kejadian di Jeti APMM di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.

Mohd. Khalid berkata, operasi menaikkan bangkai helikopter juga dijangka mengambil masa kerana memerlukan bantuan daripada pihak yang benar-benar berkemahiran dalam kerja-kerja dasar sungai.

“Setakat ini kita belum dapat pastikan bila bangkai helikopter itu dapat dinaikkan kerana ia perlukan kepakaran tertentu, mungkin juga daripada pihak ketiga.

“Saya dimaklumkan kedalaman sungai ini, kira-kira 25 kaki, itu juga menjadi cabaran besar untuk timbulkan bangkai,” ujarnya.

Terdahulu, beliau memaklumkan lima mangsa nahas iaitu tiga lelaki dan dua wanita telah menerima rawatan segera dengan dua daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga lagi dilaporkan stabil.

“Seorang lelaki dan seorang wanita yang kritikal kini dirawat dan stabil. Keputusan imbasan MRI mereka belum keluar, jadi saya minta supaya jangan buat spekulasi,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kebajikan pegawai serta anggota yang terlibat terus dijaga.

Sebelum itu, Kosmo! melaporkan sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan terhempas ke dalam Sungai Pulai ketika melakukan Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |