‘Tolonglah berhenti, yang serang saya bapa Nabila Huda’

9 hours ago 5

SHAH ALAM – Penyanyi Shila Amzah akhirnya mengesahkan penyanyi legenda yang menyerangnya sewaktu sesi latihan konsert baru-baru ini ialah Datuk Amy Search.

Pengesahan Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, itu sekali gus menamatkan teka-teki netizen yang sebelum ini memetik beberapa nama termasuklah Datuk Awie dan Ella.

Menurut Shila, dia bersimpati terhadap Datuk Awie yang turut terkena tempias kontroversi yang membabitkan dirinya bersama Amy.

“Apa yang pasti bukan kak Ella atau Datuk Awie. Bukan juga nama-nama lain yang terlibat dengan konsert tersebut. Siapa yang cakap nama Awie tolonglah berhenti.

“Individu tersebut ialah bapa kepada Nabila Huda (Amy Search),” katanya ketika ditemui pada konsert minggu keempat Raise The Star Malaysia, di sini, semalam.

Mengimbas semula detik cemas yang mencetuskan ‘anxiety’ (kebimbangan) pada dirinya, kata Shila serangan tersebut berlaku di hadapan hampir 40 orang.

“Saya masih terkesan dengan kejadian tersebut sehingga hari ini. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku di dalam industri.

“Dia (Amy) merupakan seorang yang sangat dihormati dan menjadi idola kepada ramai orang. Jadi impak itu lebih terasa kepada saya.

“Tujuan saya membuat laporan polis bukan sekadar ingin memastikan keselamatan saya dijaga tetapi juga supaya menjadi sebab untuk dia tidak bertindak lebih daripada kemampuan dan di luar kawalan,” ujarnya.

Ditanya adakah dia akan menarik semula laporan dan memilih jalan damai, kata penyanyi lagu Memori Tercipta itu, semuanya bergantung kepada perubahan sikap Amy.

“Sejujurnya saya berada di tempat yang agak sukar. Bukanlah mahu kata saya ni ada ego tinggi dan tak mahu berdamai. Cuma saya mahu tengok seandainya ada perubahan dari segi sikap. Insya-Allah kalah ada perubahan, siapa sahaja yang tak lembut hati,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia belum bercadang untuk bersemuka dengan Amy bagi menyelesaikan masalah ini kerana masih terkesan dengan apa yang berlaku.

Kesan yang terjadi pada diri saya akibat insiden ini sangat besar. Berikan saya waktu untuk pulih daripada situasi ini,” katanya.

Khamis lalu Shila membuat pendedahan menggemparkan ramai apabila mendakwa dia ‘diserang’ oleh seorang penyanyi legenda sewaktu sesi latihan Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y di Stadium Merdeka.

Susulan itu, Shila membuat laporan polis dan polis mengesahkan telah menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |