PUTRAJAYA – Kerajaan menghormati pandangan dilontarkan segelintir pihak yang mahu Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan namun, ia masih perlu mengikut proses mahkamah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini, ia (Titah Adendum) masih tertakluk kepada keputusan mahkamah.
“Itu urusan mahkamah sekarang, tak ada masalah. Pandangan masing-masing kita hormati tapi kena ikut proses,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, di sini hari ini.
Hari ini, UMNO memohon titah tahanan rumah ke atas Najib dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, ia susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum berkenaan oleh Peguam Negara, semalam.
“UMNO mengucapkan syukur dengan pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara semalam, sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah Najib,” katanya.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.- KOSMO! ONLINE