Tiga individu terlibat penipuan pelaburan sah guna ‘Datuk Seri’ palsu

6 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Tiga individu yang dipercayai terlibat dalam penipuan sehingga menyebabkan kerugian hampir setengah juta ringgit disahkan menggunakan ‘Datuk Seri’ palsu.

Datuk Lembaga Tiang Balai, Balai Rasmi Undang Luak Johol, Datuk Raja Balang Hamzah Limin berkata, watikah, kad akuan dan kad Ahli Istana yang dikurniakan kepada tiga individu tersebut adalah disahkan palsu.

“Kalau lihat sini watikah yang digunakan palsu dan kad Ahli Istana pun versi yang lama malah sejak pelantikan Undang Luak Johol ke-15, semua orang awam tidak dibenarkan memakai pingat di kenderaan masing-masing.

“Selain itu, tidak wujud panggilan ‘Ahli Istana Ahli Angkat’ yang digunakan individu tersebut,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Wisma MCA, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong berkata sekurang-kurangnya enam individu menjadi mangsa penipuan melibatkan penyalahgunaan gelaran ‘Datuk Seri’.

Beliau berkata satu daripada laporan itu melibatkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘Ahli Istana Anak Angkat’ untuk meraih kepercayaan mangsa dan menarik pelaburan, termasuk satu kes seorang ‘Datin’ kerugian RM400,000.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat hanya dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan khusus sempena Hari Keputeraan Baginda di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan sahaja.

“Tiada istilah pengurniaan Datuk dekat hotel ke atau kediaman sendiri, juga ia tidak boleh dibeli di mana-mana.

“Pengurniaan yang dibuat di luar Istana Besar Seri Menanti tidak sah pemakaian apa jua yang melibatkan istana”, katanya.

Katanya, pihaknya akan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah menyalahgunakan Gelaran dan Lambang Balai Rasmi Undang Luak Johol tanpa pengetahuan dan izin.

Sementara itu, Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia, Datuk Samson Maman menggesa pihak berwajib seperti Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyiasat sindiket memalsukan kad pengenalan.

Beliau berkata, pihaknya hairan bagaimana individu palsu yang menggunakan ‘Datuk Seri’ tersebut boleh meletakkan alamat istana di kad pengenalan dengan sewenang-wenangnya.

“Macam mana dia boleh letak alamat istana di kad pengenalan dan gelaran ‘Putri’ di hadapan namanya? Itu kita mohon pihak berwajib siasat sebelum menjadi lebih parah lagi.

“Saya minta ‘Datuk Seri’ palsu ni hentikan lah bawa gelaran palsu ni sebelum tindakan lebih keras dikenakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |