Thai menuduh Kemboja langgar gencatan senjata

15 hours ago 5

BANGKOK – Tentera Thailand hari ini menuduh Kemboja melanggar gencatan senjata yang berusia baru beberapa jam, mendakwa pertempuran masih berterusan di sebalik perjanjian itu yang bertujuan untuk menamatkan pertempuran berdarah di sempadan kedua-dua negara.

Berikutan rundingan damai di Malaysia semalam, kedua-dua pihak bersetuju gencatan senjata tanpa syarat bermula tengah malam tadi untuk menamatkan pertempuran di sepanjang sempadan 800 kilometer antara Thailand dan Kemboja.

“Pada masa perjanjian berkuat kuasa, Thailand mendapati tentera Kemboja melancarkan serangan bersenjata ke beberapa kawasan dalam wilayah Thai.

“Ia merupakan pelanggaran sengaja perjanjian gencatan senjata dan percubaan jelas untuk merosakkan kepercayaan bersama. Thailand terpaksa bertindak balas sewajarnya, bersesuaian dengan haknya yang sah untuk mempertahankan diri,” kata jurucakap tentera Thai, Winthai Suwaree.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata sebaliknya menegaskan bahawa ‘tiada pertempuran bersenjata antara satu sama lain di mana-mana wilayah’.

Bagaimanapun, kedua-dua belah pihak sepakat bahawa mesyuarat pagi yang dijadualkan antara barisan komander di sepanjang sempadan sebagai sebahagian daripada prosedur gencatan senjata sama ada telah bermula atau masih dijadualkan untuk bermula.

Di bandar Samraong, Kemboja – 20 kilometer dari sempadan – wartawan AFP berkata, bunyi letupan berhenti dalam tempoh 30 minit menjelang tengah malam, dengan situasi tenang  berterusan hingga waktu subuh.

“Barisan hadapan tenang sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada pukul 12 tengah malam,” kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam catatan di  Facebook hari ini.

Jet, roket dan artileri membunuh sekurang-kurangnya 38 orang sejak Khamis lalu dan menyebabkan hampir 300,000 lagi kehilangan tempat tinggal – mendorong campur tangan Presiden Donald Trump hujung minggu lalu. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |