‘Terkejut ada belon udara panas dekat rumah’

16 hours ago 6

KANGAR – Kehadiran sebuah belon udara panas yang mendarat di kawasan sawah padi di sini menarik perhatian penduduk setempat sekali gus mengimbau nostalgia Festival Udara Perlis yang pernah memeriahkan negeri ini suatu ketika dahulu.

Penduduk kampung yang sedang menjalankan rutin pagi seperti bersarapan dan berkebun tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pengangkutan udara tersebut yang buat pertama kalinya mendarat di kawasan berkenaan.

Menurut seorang penduduk, Abdul Razak Ahmad, berusia lingkungan 60-an, pada mulanya dia menyangka bunyi yang didengari adalah bunyi pokok tumbang sebelum keluar untuk memeriksa keadaan.

“Saya terkejut apabila mendapati sebuah belon udara panas yang besar berada di ruang udara berhampiran kediaman saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, suasana meriah itu mengingatkannya kepada Festival Udara Perlis di Sungai Batu Pahat yang suatu ketika dahulu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti penerbangan.

“Ketika itu, kawasan tersebut dipenuhi dengan pelbagai pengangkutan udara kecil seperti microlight, kapal terbang Cessna, helikopter serta pertunjukan payung terjun,” katanya.

Tambah beliau, Perlis sebelum ini pernah meriah dengan aktiviti udara apabila anak-anak muda menerbang dan mendaratkan pengangkutan udara di negeri ini manakala kehadiran belon udara panas serta paraglider yang menghiasi ruang udara Perlis sempena Pesta Angin Timur tahun ini mengamit memori lalu.

Sementara itu, juruterbang belon udara panas My Balloon Adventure, Atiqah Khairuddin berkata, penerbangan belon udara panas tersebut berlepas dari kawasan Empangan Timah Tasoh pada pukul 7.30 pagi.

“Ketinggian penerbangan boleh mencecah sehingga 2,000 kaki. Kami terbang ke arah selatan barat dengan Thailand di sebelah kanan serta menikmati pemandangan struktur batu kapur seperti Bukit Chabang dan Bukit Keteri,” katanya.

Beliau berkata, penerbangan tersebut mengambil masa kira-kira satu jam sebelum mendarat di kawasan sawah padi yang telah dituai di Kampung Behor Inai.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |