Tebatan banjir Sungai Damai lindung 17,500 penduduk

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof semalam mengadakan tinjauan ke tapak Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damai, Kota Kinabalu sempena siri jelajah PETRA Skuad Zon Sabah.

Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA telah meluluskan peruntukan pembangunan bernilai RM48 juta bagi projek RTB Sungai Damai, yang kini giat dilaksanakan.

Projek yang telah bermula pada September 2023 itu telah mencatat kemajuan fizikal sebanyak 54 peratus setakat ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2026.

RTB Sungai Damai merangkumi skop kerja penting termasuk naik taraf sistem saliran, pembinaan rumah pam, pembentung jalan dan pintu kawalan banjir.

Apabila siap kelak, projek itu dijangka memberi manfaat langsung kepada 17,500 penduduk, sekali gus memperkukuhkan perlindungan bagi kawasan berisiko banjir.

Siri jelajah Skuad PETRA Zon Sabah diketuai Fadillah turut melawat ke beberapa projek sektor tenaga dan air utama di sekitar Kota Kinabalu.

Fadillah berkata, projek ber­kenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan ketahanan infrastruktur bagi menghadapi perubahan iklim serta cuaca ekstrem yang semakin kerap melanda.

“Secara keseluruhannya, untuk tahun 2025 sahaja, PETRA telah meluluskan Peruntukan Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12) berjumlah hampir RM153.3 juta, melibatkan pelaksanaan 27 projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ­Malaysia.

“Daripada jumlah ini, 24 projek adalah sambungan, manakala tiga projek merupakan inisiatif baharu.

“Skop pelaksanaan merangkumi pelbagai aspek pengurusan sumber air dan bencana alam, termasuk projek tebatan banjir; kerja-kerja pengawalan hakisan pantai; pemuliharaan muara sungai; pe­ngukuhan dan penstabilan tebing sungai serta kerja-kerja mekanikal selain elektrikal berkaitan pengairan dan saliran,” katanya.

Projek RTB Sungai Damai dianggarkan telah mencapai kemajuan fizikal 45 peratus dan dijadualkan siap pada bulan Julai tahun depan.

Terdahulu, Fadillah melakukan pelepasan siri jelajah PETRA Skuad Zon Sabah di hadapan Menara Kinabalu.

PETRA Skuad Zon Sabah telah mengadakan tinjauan ke beberapa lokasi lain sektor tenaga dan air di sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

Antaranya adalah melawat ke Universiti Malaysia Sabah; Majlis Penyerahan Projek Siap PPKBES Tahun 2024 kepada Kerajaan Sabah di PMU Kota Kinabalu; Tinjauan ke ‘Rooftop Solar’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; dan lawatan tapak Skim Pembetu­ngan Fasa 1 Putatan.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd. Karli.

Pembinaan rumah pam dan pintu kawalan banjir antara elemen penting dalam projek RTB Sungai Damai.

Pada masa sama, Fadillah menambah, langkah-langkah tersebut menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan infrastruktur pengairan negara kekal cekap, mampan dan selamat untuk jangka masa panjang.

Jelasnya, melalui projek-projek seperti RTB Sungai Damai, kerajaan bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur yang mampan, malah menekankan pendekatan berorientasikan rakyat, dengan impak langsung kepada keselamatan dan kualiti hidup komuniti setempat.

PETRA dijangka terus memainkan peranan penting dalam ­menyokong pelaksanaan projek berkaitan air dan saliran di seluruh negara, selaras dengan agenda negara untuk memperkukuh daya tahan iklim, pengurusan risiko bencana, dan kemampanan alam sekitar. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |