TdF: Healy kuasai peringkat keenam, jersi kuning bertukar pemilik

5 hours ago 3

VIRE NORMANDIE, Perancis – Pelumba Ireland, Ben Healy mencipta detik gemilang apabila mencatat kemenangan sulungnya di Tour de France (TdF) selepas melakukan aksi pecutan solo luar biasa pada peringkat keenam perlumbaan dari Bayeux ke Vire Normandie sejauh 201.5 kilometer (km) kelmarin.

Pelumba pasukan EF Education-EasyPost itu memisahkan diri daripada kelompok lapan pelumba pada baki 42 kilometer (km) terakhir dan mengekalkan kayuhan konsisten bagi menamatkan saingan dengan kelebihan hampir tiga minit ke atas dua pencabar terdekat, Quinn Simmons dan Michael Storer.

Pelumba berusia 24 tahun itu menyasarkan peringkat berbukit ini sejak laluan tersebut diumumkan dan telah beberapa kali menyertai peringkat pemisahan pada tahun lalu ketika membuat penampilan sulungnya dan menamatkan perlumbaan di tempat ke- 27.

“Saya membuat perancangan ini sejak edisi tahun lalu. Ia buat saya percaya saya mampu lakukannya. Ini adalah luar biasa. Kemenangan ini hasil kerja keras seluruh pasukan,” katanya.

Healy dan Simmons merupakan pelumba terawal melakukan pemisahan, disusuli Van Der Poel, Simon Yates serta seorang lagi pelumba Ireland, Eddie Dunbar menerusi laluan berbukit menyaksikan suhu mencecah 27 darjah Celsius dengan kayuhan pantas pada purata kelajuan 47 kilometer sejam (km/j).

Menjelang tiga pendakian terakhir, Healy mula memecut di laluan rata dan membina kelebihan 47 saat (s) yang terus bertambah hingga mencecah kemenangan bergaya.

“Apabila saya berada dalam kelompok pendahulu, kami benar-benar perlu bekerja keras untuk mencipta jurang. Saya tahu saya perlu melepaskan diri daripada kumpulan dan memilih masa yang tepat. Saya rasa saya telah melakukannya dengan baik dan berharap dapat mengejutkan mereka,” katanya.

Kemenangan itu merupakan kejayaan kali ke-15 buat pelumba dari Ireland dalam sejarah TdF dan kali pertama sejak Sam Bennett menjuarai peringkat terakhir di Paris pada 2020.

Sementara itu, Mathieu Van Der Poel dari Belanda yang turut berada dalam kumpulan pelumba hadapan berjaya kembali merampas jersi kuning selepas memintas pendahulu sebelumnya Tadej Pogacar dengan kelebihan hanya satu saat.

VAN DER POEL

Van der Poel pula menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, empat minit di belakang Healy dan mengakui mula mengalami kekejangan pada penghujung perlumbaan.

Perlumbaan ini bakal menyaksikan cabaran peringkat ketujuh dari Saint-Malo ke Mur-de-Bretagne Guerledan sejauh 197 kilometer (km), lokasi di mana Van der Poel meraih kemenangan peringkat sulungnya pada edisi 2021. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |