Tak mengaku peras ugut sebar gambar bogel kenalan lelaki

1 day ago 8

GEORGE TOWN – Seorang peniaga nasi lemak didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan dengan menyebarkan gambar-gambar bogel seorang kenalan lelaki yang dikenalinya menerusi aplikasi ‘dating pasangan sejenis’, minggu lalu.

Tertuduh, S. Chandra, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang pemuda berusia 33 tahun bahawa gambar-gambar bogelnya akan disebarkan sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM8,400 kepada tertuduh secara dalam talian.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah kediaman di Jalan Kelawai di sini, kira-kira pukul 2 pagi hingga 11.30 pagi, 22 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, A. Mahesh.

Dalam rayuan mitigasinya, Mahesh memohon mahkamah mengurangkan jaminan minima disebabkan tertuduh masih menjaga ibunya yang sudah berusia selain menghidap asma dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“OKT (orang kena tuduh) telah beri kerjasama penuh dan menyerah diri di balai untuk bantu siasatan,” katanya.

Majistret Muhammad Amzar kemudiannya menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM3,500 dan seorang penjamin beserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak menganggu mangsa sehingga kes tersebut selesai.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan dan serahan dokumen kes yang dihadapi tertuduh pada 2 September depan -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |