SUV kompak Chery Tiggo Cross dilancarkan pada harga RM88,800

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Chery Malaysia melancarkan model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) Tiggo Cross pada harga bermula RM88,800.

Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu 1.5 Turbo yang berharga RM88,800 (atas jalan, tanpa insurans), manakala varian 1.5 Chery Super Hybrid (CSH) berharga RM99,800.

Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew berkata, pelancaran model baharu itu mengukuhkan lagi kedudukan Chery sebagai jenama automotif yang pantas berkembang di pasaran tempatan sejak Julai 2023.

“Tiggo Cross adalah SUV kompak yang direka untuk gaya hidup rakyat Malaysia yang sentiasa aktif.

“Ia menggabungkan ruang praktikal, teknologi pintar dan penampilan bergaya untuk pemanduan bandar, mahupun percutian hujung minggu,” katanya pada majlis pelancaran Chery Tiggo di sini, baru-baru ini.

Dari segi dimensi, SUV segmen B itu memiliki panjang 4,318 milimeter (mm), lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak antara roda 2,610 mm.

Varian 1.5 liter Turbo digandingkan bersama transmisi automatik enam kelajuan klac berkembar (DCT) yang mampu menghasilkan kuasa 147 PS dan tork 210 Nm, dengan penggunaan bahan api 6.3 liter bagi setiap 100 km.

Ia boleh memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa 9.9 saat.

Hannah melihat ruang dalaman Chery Tiggo Cross.

Manakala varian 1.5 CSH menggunakan enjin 1.5 liter NA empat silinder dengan kitaran Atkinson yang menjana kuasa 102 PS dan tork maksimum 125 Nm, diigabungkan dengan transmisi kotak gear hibrid DHT150 dan dua motor elektrik yang menyumbang tambahan kuasa 204 PS serta tork 310 Nm.

Varian ini mampu mencatatkan pecutan dari pegun kepada 100 km/j dalam masa 9.6 saat, dengan kecekapan bahan api 5.4 liter bagi setiap 100 km.

Menariknya sistem CSH kereta ini ialah kemampuannya untuk memberikan prestasi tinggi dengan kecekapan bahan api luar biasa dan pengalaman pemanduan terbaik, serta dilihat bakal mengangkat CSH untuk menjadi ‘game charger’ dalam arena hibrid global.

Menyentuh reka bentuk luaran, ia menyuntik elemen terkini yang moden dan sporty dengan menampilkan gril besar dengan rekaan ‘diamond cut’ di bahagian hadapan, yang menjadi signatur Chery Tiggo.

Kedua-dua varian tampil dengan rupa yang hampir serupa dengan lampu utama dan lampu belakang LED, rel bumbung, spoiler dan kaliper brek berwarna merah.

Perbezaan yang boleh dilihat pada kedua-kedua varian adalah saiz rim aloi, yang mana varian petrol berukuran 18 inci manakala HEV 17 inci.

Model itu hadir dengan pelbagai ciri premium termasuk skrin sentuh 20.5 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, kawalan iklim dwi-zon dengan panel sentuh, dan pembantu suara pintar.

Pada majlis sama, Chery Malaysia turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong pembangunan industri sukan dan atlet tempatan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut hadir bagi menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Chery Malaysia.

Read Entire Article
Pertanian | | | |