SUA MB Kedah buat permohonan maaf kepada pemilik KDA FC

2 hours ago 1

ALOR SETAR – Kes saman fitnah pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar terhadap Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar (MB) Kedah, Muhamad Mat Yakim selesai secara baik di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Penyelesaian kes antara Mohd. Daud selaku plaintif dan Muhamad selaku defendan itu berjaya dicapai hasil persetujuan kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Muhamad membacakan permohonan maaf terhadap Mohd. Daud di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Dalam kenyataan permohonan maaf itu, Muhamad menarik balik dan membatalkan sepenuhnya semua kenyataan yang diterbitkannya di akaun media sosial pada 29 Jun tahun lalu berkaitan Mohd. Daud dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

Muhamad memohon maaf atas segala kesan ketidakselesaan dan kerosakan terhadap nama baik dan reputasi Mohd. Daud disebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut.

Dia seterusnya memberi jaminan serta aku janji untuk tidak mengulangi perbuatan itu atau menyebabkan penerbitan sebarang kenyataan yang bersifat sama atau seakan-akan dengannya terhadap plaintif.

Mohd. Daud kemudian menerima permohonan maaf tersebut sebelum kedua-duanya bersalaman.

Pada prosiding itu, Mohd. Daud diwakili peguam, Ashraf Sohaimi, manakala Muhamad diwakili peguam, Abdul Hadi Ahmad.

Kosmo! pada 20 Januari lalu melaporkan kes saman fitnah pemilik KDA FC, Mohd. Daud terhadap SUA MB Kedah, Muhamad diteruskan.

Ia selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan dalam proses mediasi yang berlangsung di Mahkamah Alor Setar.

Mohd. Daud memfailkan saman pada Oktober tahun lalu terhadap Muhamad susulan satu hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi fakta tidak tepat pada 29 Jun tahun lalu.

Beliau menamakan Muhamad sebagai defendan tunggal serta menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |