PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan membabitkan penyitaan serta pelucuthakan aset luar biasa berkaitan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, ahli keluarga dan rangkaian sekutunya.
Menurut SPRM, siasatan dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) itu memfokuskan kepada aset bernilai tinggi yang dikenal pasti hasil kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa antarabangsa, termasuk National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari United Kingdom (UK).
”SPRM telah mengenal pasti pemilikan aset-aset luar biasa bernilai tinggi di 11 buah negara iaitu UK, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara Afrika, dengan anggaran nilai melebihi RM3 bilion,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, antara tindakan terbaharu ialah memperoleh Perintah Halangan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tujuh aset milik mereka di UK bernilai RM758 juta, pada 3 Jun lalu.
SPRM turut memaklumkan bahawa permohonan bantuan perundangan bersama (MLA) kepada pihak UK sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM telah memfailkan permohonan perintah halangan terhadap empat akaun pelaburan bernilai RM1.15 bilion di Jersey dan 12 akaun bank bernilai RM540 juta di Singapura, yang akan didengar pada 23 dan 25 Jun ini.
“SPRM juga telah menyita Menara Ilham di Malaysia pada 5 Jun lalu dan memfailkan pelucuthakan aset tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA 2001 pada 25 Jun,” ujarnya.
Setakat ini, keterangan Na’imah dan anak beliau, Muhammed Amir Zainuddin telah diambil manakala anak kedua, Muhammed Amin Zainuddin akan dipanggil memberi keterangan selepas ini.
“Ketiga-tiga individu ini merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, syarikat yang memiliki majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenal pasti sebagai pemilik manfaat (beneficial owner) kepada Menara Ilham,” jelasnya.
Selain itu, sebanyak 22 notis isytihar harta turut dikeluarkan kepada individu yang dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat Tun Daim dan Na’imah bagi tujuan pengesanan dan pengesahan pemilikan aset. – KOSMO! ONLINE