PETALING JAYA – Cef selebriti Datuk Fazley Yaakob melahirkan rasa bangga melihat pencapaian pempengaruh media sosial, Khairul Aming yang berjaya memiliki sebuah restoran, Rembayung hasil titik peluh sebagai pencipta kandungan.
Menurut Fazley, Khairul Aming melalui transisi besar dalam kehidupan yang sebelum ini bermula dalam media sosial sehingga menjadi pemilik sebuah jenama restoran sendiri.
“Saya bangga dengan dia sebab dia pernah cakap pada saya sebelum ini, dia memang akan buka sebuah restoran satu hari nanti.
“Selepas melihat dia bermula sebagai pencipta kandungan sehingga berjaya, saya nak cakap ‘selamat datang ke dunia kami (bidang kulinari).
“Dia dari dunia online kemudian jual sambal dan sekarang masuk dunia kami serta jadi pemilik restoran. Realitinya memang lebih pahit daripada yang diperkatakan,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Ujarnya, pembukaan restoran Rembayung yang tular turut memberi peluang orang ramai memahami kepayahan mana-mana individu mengendalikan sesebuah bisnes terutama berkaitan bidang makanan.
“Pelanggan hina, air tumpah, nasi tak masak, itu adalah realiti dunia kulinari.
“Bila dia buka restoran, akhirnya masyarakat melihat secara realiti bagaimana sukarnya menyiapkan, menghasilkan dan menjalankan sebuah restoran.
“Menerusi Rembayung, dia dapat kongsi dunia sebenar pemilik restoran,” jelasnya.
Mengulas mengenai pelbagai permintaan yang disuarakan orang ramai terhadap Khairul Aming selepas pembukaan restorannya, Fazley berkata, perkara tersebut adalah cara peminat ‘bermanja’ dengan pempengaruh berkenaan.
“Itu kepahitan yang terpaksa diterima sebab dia adalah milik Malaysia. Setiap patah kata, butiran beras yang dijual adalah milik masyarakat Malaysia dan dunia luar.
“Bila orang minta bilik menyusu dan bilik khas, itu semua permintaan orang-orang yang dah dimanjakan olehnya.
“Bila dia manjakan, ‘followers’ pun nak bermanja dengan dia. Jadi, setiap saya lihat mereka yang beri pandangan bukan sebab benci tetapi mahu mencari peluang berinteraksi dengan content creator kesayangan mereka,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Rembayung yang memulakan operasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia.
Sehingga hari ini, pelbagai pandangan dan pendapat dilontarkan netizen mengenai restoran pertama milik pempengaruh yang popular berkenaan. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
4
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)












































