‘Setahun tiada komunikasi, kami di dunia berbeza’

12 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Berada di ruang berbeza, pelakon Farid Kamil mengakui sudah lama terputus komunikasi selama setahun dengan bekas isterinya, Diana Danielle sejak tahun lalu iaitu beberapa bulan sebelum mereka bercerai.

Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 44, berkata sebarang perkara membabitkan anak-anak disalurkan terus kepada Muhammad dan Nur Aurora menggunakan telefon.

“Kami tidak berhubung sudah hampir setahun. Mungkin kerana kami kini berada di dunia dan ruang masa yang berbeza.

“Apa pun kami fokus kepada membesarkan anak-anak dengan baik dan itu adalah matlamat yang kami sedang lakukan sekarang.

“Komunikasi pun bukan macam dulu. Muhammad dan Nur Aurora ada telefon bimbit, apa sahaja perkara disalur menerusi mereka, jadi tiada ‘breakdown communication’,” katanya ketika ditemui selepas tayangan filem barunya, Munajjim: Sekutu Iblis, malam tadi.

Ditanya sama ada sudah ‘move on’ atau berlapang dada selepas kembali menduda, aktor juga pengarah itu memaklumkan semakin tenang meniti kehidupan.

“Saya akui sudah semakin tenang dan bahagia selepas saya berikan fokus terhadap diri sendiri. Lagipun sudah hampir setahun dah (kemelut).

“Apa yang boleh saya katakan juga adalah kita kena ‘move forward’ iaitu jalani hidup dengan terus memandang ke hadapan.

“Anak saya pun sudah sama tinggi dengan produser, David Teo. Perubahan masa sekarang lebih pantas dan ‘no turning back’ (tidak berpatah balik),” ujarnya.

Pada masa sama Farid lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut perkongsian Diana berkenaan fasa selepas perceraian ketika ditemubual dalam sebuah program audio siar.

Menerusi video tular tersebut, pelakon Imaginur itu mendedahkan perceraian bukan momen paling menyakitkan sebaliknya kehilangan sahabat baik dalam perkahwinan itu lebih melukakan.

“Saya tak tahu nak komen apa tapi saya ada lagu. ‘Telah aku cuba untuk berikan bunga’. Itu saja,” luahnya sarat makna tersirat.

Terdahulu Farid dan Diana, atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 33, mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10.

Mereka pernah bercerai kali pertama secara Google Meet pada 10 Ogos 2023, kemudian kembali rujuk sebulan selepas itu.

Namun jodoh mereka tidak panjang apabila akhirnya disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |