Semua negeri perlu patuh arahan pembinaan rumah ibadat – PM

9 hours ago 5

SHAH ALAM – Isu pembinaan rumah ibadat perlu dipatuhi semua pihak termasuk negeri yang dikuasai pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang dan dasar kerajaan mesti dilaksanakan tanpa pengecualian bagi memastikan ketertiban dan kelangsungan negara.

“Saya akan runding dengan semua kerajaan negeri termasuk negeri-negeri pembangkang yang kadang-kadang riuh rendah soal perjuangan mereka, namun kuil haram lebih banyak di negeri mereka.

“Kita ketepikan perbezaan politik itu dan pimpinan kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan bahawa negara ini perlu terus maju dengan dasar yang jelas serta memberi kerjasama bagi melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 di sini, malam ini.

Menurut beliau, Malaysia ini adalah negara hukum dan undang-undang yang terpakai kepada semua rakyatnya tanpa mengira agama termasuk dalam rumah ibadat.

“Kalau kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada hukum dan undang-undang, mengapa diberikan pengecualian.

“Kaum ini kalau mahu beribadah mesti ikut peraturan, kaum ini boleh terlepas peraturan. Dan kerana kepentingan dan pertimbangan politik serta pilihan raya, ada yang dikecualikan,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan mengambil masa lebih dua tahun dalam memuktamadkan perkara tersebut supaya semua mengikuti peraturan yang telah ditetapkan.

“Bayangkan selepas puluhan tahun bergelut soal kuil dan ternakan khinzir, tetapi tidak ada pemutus, kata putusnya, tiada noktah.

“Tetapi, kerana ketegasan kita dan dukungan saudara-saudara, saya katakan bahawa negara ini untuk menjamin kelangsungannya sebagai satu negara bangsa, berdaulat dengan titik tolak nilai, akhlak dan sahsiah tersendiri, ia mesti kembali membetulkannya,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |