
- Oleh KOSMO!
- 29 Julai 2025, 12:42 am
PETALING JAYA – Kesemua 38 orang jemaah umrah bersama seorang mutawwif di bawah kelolaan syarikat Persada Global Holidays yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Jeddah, Arab Saudi, pulang ke tanah air malam ini.
Menurut makluman terkini yang diterima daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, kesemua jemaah dan mutawwif berkenaan dijadualkan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH157 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 malam waktu tempatan.
“Penerbangan tersebut dijangka tiba di KLIA pada pukul 11.15 pagi waktu Malaysia pada 29 Julai,” katanya kepada Kosmo! tadi.
Sebelum ini, para jemaah berkenaan dilaporkan menghadapi kesulitan pulang ke tanah air apabila timbul isu berkaitan penyediaan tiket penerbangan oleh pihak syarikat pelancongan.
Aduan rasmi telah dikemukakan kepada pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah oleh mutawwif yang mengiringi kumpulan jemaah tersebut.- KOSMO! ONLINE