PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menuntut komitmen seluruh kepimpinan pendidikan di setiap peringkat untuk memastikan isu beban tugas guru ditangani bersama.
Fadhlina menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, pelaksanaan tujuh langkah mengurangkan beban guru yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sebelum ini perlu terus diperkasakan.
Sehubungan itu, katanya, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah diminta untuk memastikan pelaksanaan yang berkesan.
“Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dipertanggungjawab untuk memastikan inisiatif mengurangkan beban tugas guru berjalan seperti yang dirancang.
“Laporan berkala setiap tiga bulan sekali perlu dibentangkan kepada saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian,” katanya.
Tambah Fadhlina, pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap isu beban tugas guru seperti yang disuarakan oleh banyak pihak sedari awal khidmatnya di Kementerian Pendidikan Malaysia.
Katanya, tujuh langkah mengurangkan beban guru antaranya memansuhkan penganjuran acara yang tidak berimpak tinggi serta mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).
Selain itu, waktu kunci masuk rekod kehadiran murid yang fleksibel, melantik pengawas peperiksaan awam dalam kalangan individu selain guru serta menghadkan penganjuran sambutan Hari Guru kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja.
Langkah lain termasuklah menetapkan ringkasan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi serta memperkukuh autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD).
“Inisiatif ini menunjukkan beberapa kejayaan signifikan termasuk lantikan seramai lebih 11,000 pengawas peperiksaan awam dalam kalangan orang awam sekaligus mengurangkan beban tugas guru.
“Namun, ia perlu terus diperkasakan bagi memastikan impaknya menyeluruh dan dirasai semua guru,” katanya. – KOSMO! ONLINE