HULU LANGAT- Kerajaan negeri Selangor mengarahkan bahagian perkhidmatan dan sumber manusia untuk menyediakan kerangka kerja berkaitan cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dua pembentangan penting akan didengar dalam minggu ini sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan dalam mesyuarat MMKN yang akan datang.
Beliau berkata, cadangan pelaksanaan WFH itu bertujuan mengurangkan tekanan terhadap penggunaan bahan api yang ketika ini digunakan secara meluas oleh kerajaan dan rakyat.
“Pada masa yang sama, kita tidak mahu langkah ini mengurangkan produktiviti.
“Jadi, kita sedang menyeimbangkan dua perkara ini, iaitu produktiviti dan juga tekanan terhadap penggunaan bahan api,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Perasmian Puncak Ampang Look Out Point (Puncak Alop) di sini hari ini.
Amirudin berkata, meskipun keadaan di negara ini belum sampai ke tahap krisis atau bencana bahan api seperti yang berlaku di beberapa negara jiran, negara perlu bersedia dengan mendapatkan data dan angka yang tepat.
“Dengan pengumpulan data yang tepat kita dapat merancang program dan menyediakan pelan kerajaan yang lebih bersedia untuk menghadapi situasi tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, projek pembangunan semula bernilai RM25 juta berjaya menghidupkan kembali Puncak ALOP sebagai destinasi pelancongan eko baharu yang lebih moden, selamat dan tersusun.
Katanya, pembukaan semula lokasi ikonik itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan, khususnya di kawasan berpotensi seperti Hulu Langat.
“Pembukaan ini dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat melalui peluang perniagaan kepada peniaga kecil dan penjaja tempatan, selain merangsang ekosistem pelancongan sekitar.
“Ini merupakan satu lagi tarikan baharu dan melalui fasa yang dapat kita lihat secara rasmi hari ini, ia menyediakan tempat yang lebih teratur dan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6






![[VIDEO] Ucapan 2022 isteri ‘rider’ maut dilanggar pemandu mabuk undang sebak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-30-at-2.53.22-PM-1.jpeg)







































