Selangor FC optimis capai KPI

1 day ago 8

PENGURUSAN Selangor FC optimis skuad Gergasi Merah dapat mencapai petunjuk indeks prestasi (KPI) yang ditetapkan musim ini sekali gus tidak lagi terbuai dengan ‘sejarah lampau’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, semua pihak berusaha untuk memberikan prestasi terbaik dan konsisten agar pencapaian musim baharu nanti lebih baik berbanding edisi lepas.

Kata Johan, sasaran yang ditetapkan masih lagi sama untuk layak ke pentas final kejohanan peringkat domestik dan berusaha mara ke pusingan kalah mati bagi aksi rantau Asia Tenggara dan Asia nanti.

“Bagi saya, kita perlu bersikap realistik dan melihat saingan yang kompetitif di liga kita. Bagi dua musim lepas, kita berjaya rapatkan jurang dengan pasukan juara (Johor Darul Ta’zim).

“Justeru, saya harap momentum itu kita perlu teruskan kerana KPI kita masih sama dengan sasaran Top 2 Liga Super, final Piala Malaysia dan Piala FA selain ke pentas kalah mati kejohanan serantau.

“Ini bukanlah tugas yang mudah kerana pasukan lain turut melakukan persiapan pramusim dengan baik tetapi saya percaya kita ada peluang yang baik (untuk mencabar kejuaraan),” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, skuad Merah Kuning dilihat memiliki reputasi gah dalam arena bola sepak tanah air tetapi gagal menjuarai sebarang trofi berprestij dalam tempoh 10 tahun terakhir.

Pada musim lalu, juara Piala Malaysia 33 kali itu hanya berpuas hati dengan trofi Piala Cabaran selepas menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC) di pentas final.

Kali terakhir Selangor FC menjuarai Liga Super adalah pada edisi 2010, Piala Malaysia (2015) dan Piala FA pada 2009.

Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi itu berpeluang untuk menjulang trofi pertama Liga Malaysia musim ini pada aksi Piala Sumbangsih bertemu JDT pada 8 Ogos depan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |